24 April 2012

'KRU ACADEMY' RANCAKKAN INDUSTRI HIBURAN


Cyberjaya: - Selaras dengan pelan Kerajaan untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, membudayakan inovasi dan kreativiti, serta meningkatkan kemahiran dan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti dalam industri kreatif, Kumpulan Syarikat KRU telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan KRU Academy sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf vokasional yang memberikan tumpuan kepada kemahiran berkaitan industri media dan hiburan.

Majlis pelancaran KRU Academy telah disempurnakan oleh Y.Bhg Datuk Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif, Multimedia Development Corporation (MDeC) dan turut disaksikan oleh rakan strategik KRU Academy iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selain daripada para jemputan khas dan wakil pihak media.

Klik untuk imej besar...




Mulai bulan 2hb Julai 2012, KRU Academy akan memperkenalkan 3 (tiga) program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memenuhi sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh JPK, Kementerian Sumber Manusia Malaysia iaitu bagi bidang kemahiran Kemahiran Kesan Khas Visual,Animasi 3D dan Animasi 2D.

Selain daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, KRU Academy juga turut menyediakan perisian komputer yang terkini untuk menghasilkan kandungan kreatif yang bertaraf antarabangsa. Kesemua kursus adalah direka khas oleh pakar-pakar industri kreatif berteraskan konsep latihan praktikal sejajar dengan perkembangan semasa industri media dan hiburan di peringkat global.



Pada majlis yang sama, KRU Academy turut memperkenalkan Panel Penasihatnya yang terdiri daripada pakar-pakar dari dalam dan luar negara iaitu Michael C. Ellis (Presiden & Pengarah Urusan, Asia Pasifik Motion Pictures Association), Joan Vogelesang (Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Toon Boom Animation), Datin Paduka Shuhaimi Baba (Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia), Ahmad Izham Omar (Ketua Pegawai Operasi – Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad), Khairul Anwar Salleh (Naib Presiden Perniagaan Melayu) dan Hasnul Hadi (Pengurus Kanan Rhythm & Hues Malaysia).

Industri kreatif khususnya bidang penghasilan kesan khas visual, animasi 3D dan 2D mampu menjana pulangan ekonomi yang besar kepada negara. Kewujudan KRU Academy akan memberi satu dimensi baru kepada ekosistem industri media dan hiburan negara dengan menyediakan keperluan tenaga kerja yang terlatih, berkaliber serta kreatif.

“MDeC selaku peneraju utama didalam pembangunan industri animasi dan kandungan digital Negara sememangnya menanti-nantikan kewujudan institusi kemahiran yang khusus didalam bidang ini seperti KRU Academy. MDeC berharap kewujudan KRU Academy akan melahirkan lebih ramai lagi karyawan dengan kepakaran tinggi untuk membantu meningkatkan kualiti penerbitan tempatan untuk ke pasaran global” demikian menurut Datuk Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif, MDeC.



Norman Abdul Halim, Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU pula berkata, industri media dan hiburan tempatan kini sedang rancak berkembang diperingkat tempatan dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global. KRU telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa dan produk kami juga telah dieksport ke pasaran dunia. Keperluan pakar-pakar dalam bidang animasi ini bukan saja bagi memenuhi keperluan Kumpulan Syarikat KRU tetapi juga untuk majikan-majikan lain di dalam industri media dan hiburan di Malaysia.

Sehubungan itu, Prof Dato’ Nazaruddin Abdul Jalil, Pengerusi KRU Academy telah mengumumkan kerjasama dengan Fakulti Multimedia Kreatif MMU iaitu fakulti peneraju dalam bidang-bidang kreatif seperti animasi, kesenian media, realiti alam maya, rekabentuk pengiklanan dan rekabentuk antara muka selaku 'Penasihat Akademik' bagi memastikan kualiti program latihan akan sentiasa berada di tahap yang tinggi di negara ini.

Sesi pertama pengajian akan bermula pada 2hb Julai 2012 dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Kepada yang berminat, anda boleh memohon mulai 20hb April 2012 melalui email hezrey.shariff@kruacademy.com sebelum 31hb Mei 2012. Syarat kelayakan adalah lulus peperiksaan SPM dan mereka yang mempunyai kemahiran melukis akan diberi keutamaan.

No comments: