22 May 2012

ANAK JADIKAN AYU DAMIT LEBIH POSITIF


Anak telah menjadikan penyanyi Ayu Damit, 23, lebih matang dan dapat berfikir dengan rasional berbanding sebelumnya. Malah kehadiran Syed Nashrul Haikal, 2, dan Syarifah Alya Adrianna yang berusia 7 bulan, juga mampu mengubah Ayu menjadi lebih positif.

"Benar, dua anak saya itu menjadikan saya lebih matang dan saya tidak lagi berperangai kebudak-budakan seperti sebelum ini.





"Alhamdulillah kerana mereka juga hidup saya bahagia dan lebih bermakna. Malah saya tidak dapat berenggang dengan mereka kerana hati saya sentiasa tak senang apabila berjauhan," katanya kepada media.

Ayu yang juga juara program realiti One In a Million musim kedua (OIAM2) menambah, dia kini sudah tidak kekok dan sudah mampu berkomunikasi dengan lebih baik dengan sesiapa sahaja.

Untuk makluman, kontrak Ayu dengan Monkey Bone sudah pun tamat sejak enam bulan lalu. Aktiviti seninya kini ialah membuat persembahan nyanyian di Glass Lounge, Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, dua hari seminggu.

"Sementara ingin menaikkan semula nama dalam industri muzik tempatan, saya membuat keputusan untuk menyanyi di hotel berkenaan demi mencari rezeki buat anak-anak. Bagi saya, lebih senang bergerak sendiri kerana saya boleh mengatur jadual saya sendiri di samping berpeluang menjaga dan membesarkan anak-anak saya.

"Memandangkan tidak lama lagi saya bakal muncul dengan sebuah album berkonsepkan lagu saduran, menyanyi di Crowne Plaza juga adalah satu platform yang bagus untuk menarik perhatian umum agar saya dikenali," ujar Ayu.

No comments: