16 May 2012

ISU FILEM: APEK GAGAL TUNTUT RM200,000


Hasrat pelawak Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff ingin membuat tuntutan sejumlah RM200,000 daripada penerbit filem David Teo terbantut apabila ia sebenarnya telah dibatalkan oleh mahkamah.

Apa yang memelikkan, perkara tersebut tidak dimaklumkan oleh peguamnya sebelum ini hingga berlaku salah faham.

"Tuntutan tersebut dibuat sejak tahun 2005 lagi dan saya terkejut apabila dia (David Teo) menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan kepada program hiburan Melodi di TV3 pada Ahad lalu dengan mengatakan kes berkenaan sudah ditutup. Saya langsung tak tahu apa-apa.

Klik untuk imej besar...




"Malah peguam saya sendiri tidak memberitahu hal itu kepada saya. Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah seperti dinyatakan pihak yang satu lagi (David)," kata Apek dipetik sebagai berkata kepada media.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di Tease Restaurant, Subang Avenue, Selangor, bagi menjelaskan kontroversinya dengan David.

Ini kerana, Apek mendakwa David yang juga pemilik syarikat Metrowealth International Group (MIG) menganiayanya apabila gagal membayar wang pelaburan sebanyak RM200,000 bagi kerjasama melaksanakan projek dua buah filem iaitu Anak Mami Kembali dan Lady Boss.



Dakwa Apek, dia ditawarkan berlakon dalam kedua-dua buah filem tersebut dengan bayaran RM100,000 sebelum ia dilaburkan semula untuk dijadikan sebagai kos pembikinan filem berkenaan.

Dia juga dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM200,000 atau 10 peratus sebagai penerbit bersama.

Bagaimanapun Mahkamah Seksyen, Shah Alam, Selangor membatalkan tuntutan tersebut.

Tegas Apek, tuntutan yang dilakukannya itu bukan ingin mencetuskan isu atau memfitnah produksi berkenaan.

"Saya tidak akan menimbulkan isu tuntutan berkenaan sekiranya ia tidak benar, tetapi nak buat macam mana, mungkin saya kurang arif tentang hal kontrak yang diberikan kepada saya sebelum ini.

"Dengan pengalaman yang telah dilalui, banyak pengajaran yang saya peroleh. Sebab itu saya ingin menjadi sukarelawan di mana menerusi KEMAS, artis-artis yang kurang memahami tentang hal-hal kontrak bekerja di bawah sesebuah produksi boleh merujuk kepada saya,” tambahnya seolah kecewa.

No comments: