15 May 2012

LAGI ARTIS TERBARU KRU MUSIC - RAISA ANDRIANA


Raisa Andriana dilahirkan pada 6 Jun 1990, merupakan seorang penyanyi solo dan juga bintang yang mula bersinar di dalam industri muzik di Indonesia. Minat mendalam beliau di dalam bidang nyanyian mula terserlah seawal umurnya 3 tahun lagi dan lagu pertama yang dinyanyikan beliau ketika itu berjudul 'A Whole New World', lagu tema filem animasi popular Aladdin.

“Seorang teman memperkenalkan Raisa kepada saya, setelah pertama kali melihat video klip Raisa, saya terus ingin mengenali karya-karya beliau," kata KC.Ismail selaku Timbalan Presiden KRU Music.

Klik untuk imej besar...




"Setelah mendengar lagu-lagu dendangan beliau saya jadi teruja untuk memasarkan Raisa di Malaysia. Berbekalkan pakej yang lengkap, cantik serta berbakat besar, Raisa dilihat mampu menambat hati para penggemar muzik di Malaysia," tambah beliau lagi.

Untuk info, Raisa pertama kali tampil ke arena industri muzik Indonesia pada Mac 2011 bersama single sulung 'Serba Salah' dan mendapat sambutan yang positif daripada penggemar seni di sana, Raisa kemudiannya tampil dengan single keduanya yang berjudul 'Apalah' (Arti Menunggu) pada bulan Julai 2011.

Walaupun albumnya belum dipasarkan di sini, namun Raisa sudah pun dikenali sebahagian daripada pencinta muzik di Malaysia. Malah beliau juga pernah satu ketika mengadakan persembahan tertutup bersama Datuk Sheila Majid.

Salah sebuah lagu beliau berjudul 'Could It Be' juga turut dijadikan runut bunyi untuk filem lakonan Tomok bertajuk 'Manterra'. Selain itu, single pertama beliau berjudul Apalah (Arti Menunggu) telah menjadi tema drama bersiri 'Puaka Bunga Tanjung', dimana drama ini masih ditayangkan di TV9.



Raisa bakal berkunjung ke Kuala Lumpur bersempena dengan Ulangtahun ke-20 KRU pada 10 Jun 2012 dan di Kota Kinabalu pada 17 dan 18 Jun sempena KK Jazz Festival 2012. Nantikan kehadiran Raisa di Malaysia bagi mempromosikan single pertamanya itu.


Berita dan gambar: 
KRU STUDIOS SDN BHD

No comments: