08 August 2012

HAKIM TEGUR SIKAP 'TIDAK BERSUNGGUH' AIDIL ZAFUAN


Sikap mementingkan bolasepak berbanding rumah tangga dan anak-anak mendapat teguran mahkamah apabila Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menegur sikap pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abdul Radzak. Ini kerana, Aidil gagal menghadirkan diri ke mahkamah bagi sebutan kes permohonan plaintif berhubung tuntutan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap isterinya pelakon Rita Rudaini.

"Tidak berdosa kalau tak main bola sepak tetapi soal yang dibincangkan dalam mahkamah ini adalah berkaitan dengan hidup dan mati.




"Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat seperti mainan. Plaintif (Aidil) perlu buat pengorbanan dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kes ini," kata hakim dipetik sebagai berkata semalam.

Terdahulu, peguam plaintif iaitu Noor Hazlina Che Hasan memberitahu mahkamah Aidil tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah atas alasan sedang menjalani latihan bola sepak di Austria selama dua minggu. Tambahnya, Aidil telah berlepas pada 4 Ogos lalu dan hanya akan kembali ke tanah air sebelum Hari Raya Aidilfitri.



Dalam pada itu, peguam defendan (Rita) iaitu Datuk Mohd Zaidi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya dan peguam plaintif ada berbincang secara tidak formal mengenai cadangan Wan Mahyuddin supaya pasangan itu menyelesaikan masalah mereka secara baik.

Bagaimanapun kata Mohd Zaidi perbincangan itu tidak dihadiri pasangan itu.

"Perbincangan hanya dibuat secara lisan dan tidak formal melibatkan peguam masing-masing tanpa kehadiran anak guam kami," ujarnya.

Noor Hazlina pula memberitahu mahkamah, dia ada berbincang dengan Aidil namun tiada sebarang keputusan formal dibuat.

"Pihak kami akan mengemukakan jawapan secara bertulis kepada mahkamah sekiranya terdapat sebarang keputusan dan pihak kami perlu menunggu plaintif pulang dari luar negara terlebih dahulu," ujarnya.



Sementara itu, peguam plaintif telah menfailkan affidavit jawapan terhadap bantahan awal yang dikemukan oleh pihak defendan berhubung tuntuntan kembali taat yang dibuat oleh Aidil dan diserahkan kepada peguam defendan.

Mahkamah mengarahkan jawapan itu dibalas oleh pihak defendan untuk dikemukakan pada sebutan kes akan datang iaitu pada 3 Oktober depan.

No comments: