13 September 2012

BINTANG LAGENDA RAJA HAMIDAH MENINGGAL DUNIA


Masih ingatkah anda dengan seniwati veteran Raja Hamidah Raja Saad yang pernah membintangi filem lama seperti Musang Berjanggut, Orang Minyak dan Hang Tuah? Jika masih ingat, kita sebenarnya telah kehilangan sebutir lagi bintang lagenda apabila beliau meninggal dunia pada usia 80 tahun akibat penyakit barah paru-paru semalam.

Untuk info, Allahyarham adalah isteri kepada pengarah filem legenda Salleh Ghani telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Klang Gate Hulu Kelang, Selangor.

Tinggal kenangan: 
Raja Hamidah (kanan) bersama Mariani & Zaiton



Difahamkan, Allahyarham yang semakin uzur sejak dua bulan lalu pada mulanya diserang semput dan sesak nafas selepas menunaikan solat Asar pada petang Rabu.

“Sebenarnya, sejak Ramadan lepas lagi keadaannya sudah tenat apabila dia diserang paru-paru berair dan semput. Keadaan arwah bertambah kritikal selepas dia menunaikan solat Asar petang tadi (Rabu).

“Apabila diperiksa doktor, dia bertambah lemah dan doktor meminta kami agar bersiap sedia pada sebarang kemungkinan terhadap arwah,” katanya salah seorang anaknya kepada media.

“Ibu tidak memberikan sebarang reaksi yang pelik tetapi dia agak terkilan kerana tidak dapat membuat persiapan Hari Raya lalu seperti kebiasaannya kerana uzur.

“Namun, dia gembira anak-anak dan cucu-cucunya dapat berkumpul dan makan bersama di rumah keluarga kami pada Ramadan dan Aidilfitri lepas,” tambahnya.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate Baru, Hulu Kelang pada pukul 11 pagi ini.

Untuk imbasan, Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Salleh Ghani pada 1955 (Salleh meninggal dunia pada 28 Ogos 1986) dan meninggalkan 12 anak termasuklah pengarang di akhbar Harian Metro, Adam Salleh serta 24 cucu.

Raja Hamidah dilahirkan pada 9 Disember 1932 dan berasal dari Johor Bahru, Johor.

Allahyarham menceburi bidang lakonan pada 1948 melalui filem Kampung Sentosa arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master of New York Ins.

Selain berlakon, Raja Hamidah merupakan penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers serta pemimpin kumpulan muzik Seni Wanita. Al-Fatihah...

No comments: