05 September 2012

PENCEN 'SELAMATKAN' AHMAD BUSU


Meskipun ada pihak yang mendakwa keengganan pelakon Ahmad Busu yang popular melalui sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, kembali berlakon sebagai menolak rezeki, namun bagi pelakon itu dia hanyalah merehatkan diri. Kata Ahmad Busu, entah kenapa dia makin selesa tanpa lakonan memandangkan tiada lagi bebanan yang harus ditanggungnya.

"Anak-anakpun dah besar dan berdikari. Malah rumah saya pun dah habis bayar dan saya tidak terikat dengan hutang lagi. Walaupun rumah kecil, namun saya bersyukur kerana tidak perlu berhempas pulas untuk mencari wang membayar hutang," ujarnya.




Ditanya apakah punca pencariannya sekarang, jawab pelakon itu dia 'survived' kerana wang pencen yang diterimanya setiap bulan. Tambahnya, dia bernasib baik kerana mempunyai pencen setelah menamatkan perkhidmatan dengan Lembaga Pelabuhan Kelang tidak lama dahulu.

"Kalau nak harapkan lakonan sahaja, memang tak cukup. Pencen ni walaupun sedikit, tetapi ia berterusan... tetapi lakonan meskipun dapat banyak, tapi ia hanya sementara sahaja. Esok-esok kalau dah habis, nak cari kat mana?



"Kadangkala saya kasihan tengok rakan-rakan yang tiada sumber lain melainkan berlakon. Bila tiada tawaran, mereka tersepit dan adakalanya kehabisan wang untuk terus hidup," katanya ketika ditemui di Finas baru-baru ini.

Terdahulu, menyentuh mengenai penyakitnya, Ahmad Busu mengakui dia semakin pulih sekarang setelah dirawat oleh doktor dan pengamal perubatan tradisional. Buat masa sekarang, dia hanya perlu ke hospital atau ke klinik seminggu sekali untuk mengambil ubat yang diarahkan.

"Sihatlah sikit berbanding sebelumnya. Tapi kalau jalan, kenalah pakai tongkat. Sampai sekarang, saya sudah mempunyai 11 batang tongkat sebagai koleksi," ujarnya berseloroh.

No comments: