11 October 2012

JIMMY SHANLEY SAH BERCERAI DENGAN NURSUHAILA


Akhirnya, pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy sah bercerai talak satu secara khuluk atau tebus talak dengan bayaran RM1. Lafaz cerai tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor semalam atas persetujuan bersama.

Dengan lafaz itu, Abd Halim yang mendengarnya kemudian membenarkan jatuh talak satu dan mengarahkan Nursuhaila bersuci tiga kali edah.




Tebus talak itu dibuat mengikut Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang difailkan Nursuhaila.

Dalam prosiding itu, Nursuhaila, 26, yang merupakan plaintif bersetuju untuk menggugurkan tuntutan nafkah edah, mutaah serta hutang sementara Jimmy, 33, pula bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan berkaitan hutang di antara mereka.

Peguam Syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila memaklumkan pihak plaintif ada menerima permohonan Jimmy untuk bersetuju menebus talak dengan nilai RM1 pada Jumaat lalu.

Berikutan itu pihaknya membuat keputusan agar kes permohonan cerai secara baik yang difailkan di mahkamah syariah di sini ditarik balik termasuklah permohonan nusyuz (kembali taat) yang masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam dekat sini.

Sa’adiah berkata, permohonan Jimmy berhubung tuntutan hadanah iaitu hak jagaan anak Zahrah Shanley yang berusia setahun akan tetap diteruskan.

Tinggal kenangan...


Jimmy diberi hak untuk melawat anaknya yang berada dalam jagaan ibu Nursuhaila iaitu pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim di Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, Jimmy dipetik sebagai berkata, dia telah mengkhianati janji terhadap ibu mertuanya untuk tidak menceraikan Nursuhaila.

“Saya telah mungkir janji kepada ibu mertua saya untuk tidak menceraikan Nursuhaila. Tapi apa nak buat minat, hobi pun tak sama,” katanya kepada media.

Untuk maklumat, Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186. Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

No comments: