22 December 2012

ANAK NORISH KARMAN TAK SUKA 'WATAK JAHAT'


Norish Karman, 36, akhirnya mengakui bahawa watak jahat memberi impak tidak baik terhadap anak-anaknya dan ia terpaksa dikurangkan mulai sekarang. Semuanya demi memenuhi permintaan ketiga-tiga anaknya iaitu Muhammad Haqiem Armany, 13, Muhammad Hardy Amieran, 9, dan Putri Hany Amanda, 8, yang tidak menyukainya melakonkan watak tersebut.

“Anak-anak saya tidak suka ibu mereka membawa watak jahat dalam drama televisyen (TV) atau filem yang mereka tonton.




“Mereka kata saya bukan orang yang jahat kerana saya bertenaga, ceria dan kelakar terhadap orang keliling.

“Susah hendak saya jelaskan kepada mereka sehingga terpaksa berbohong kerana mereka sangat trauma,” katanya kepada media ketika pratonton filem Kahwin 5 di Damansara, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, Norish berharap pihak penerbit dan pengarah dapat menawarkan watak yang variasi dan berbeza dimasa akan datang, bukan watak jahat semata-mata.



“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi bawa watak antagonis. Masalahnya dengan industri kita, bila seseorang pelakon itu berkesan bawa sesuatu watak, dia akan terus diberikan karakter yang sama berulang-kali.

“Kalau kita tidak ambil, nanti kena gam pula. Peluang untuk melakonkan watak yang variasi sangat terhad,” ujarnya terus-terang.

“Orang (penggiat industri) tidak terbuka dan mereka letakkan saya di tahap tertentu kononnya pelakon yang ada kelas tersendiri sehingga tidak mahu menawarkan watak-watak berbeza.

“Walhal, saya boleh melakukan apa sahaja watak dan sanggup belajar serta bereksperimen dengan pelbagai watak, cuma peluang itu tiada,” tambahnya.



No comments: