27 December 2012

INFO - K-POP & TINJU MERIAHKAN TAHUN BARU


Bagi memeriahkan sambutan tahun baru beberapa hari lagi, Portal Tonton (www.tonton.com.my) mempersembahkan empat program K-pop bermula 29 Disember 2012 sehingga 1 Januari 2013. Istimewa buat peminat K-pop, siaran khas ini bakal menampilkan persembahan hebat barisan artis serta selebriti Korea popular antarabangsa menerusi pelbagai program menarik.

Bermula jam 4 petang pada 29 Disember 2012, Tonton akan membawakan Anugerah Ikon Bergaya Mnet 2011, sebuah acara berprestij yang memberi pengiktirafan kepada bintang fesyen Korea. Disertai oleh ramai selebriti popular Korea, peminat berpeluang menyaksikan selebriti dan idola pilihan yang berjaya merangkul anugerah ulung ini selain persembahan hebat oleh Jay Park, Kim Hyun Joong, Girls’ Generation, IU dan Dynamic Duo.




Meneruskan kemeriahan pada hari berikutnya, peminat akan disajikan dengan persembahan hebat Anugerah Muzik Asia Mnet, atau lebih dikenali sebagai MAMA. Acara yang berlangsung di Singapura pada tahun lepas ini menampilkan barisan artis popular antaranya Super Junior, Girls’ Generation, 2NE1, Baek Ji Young, Kim Hyun Joong, BEAST, miss A, Hyuna, AZIATIX dan ramai lagi.

Bintang hip-hop terkenal seperti will.i.am dan apl.de.ap dari The Black Eyed Peas, Snoop Dog dan Dr. Dre turut memukau penonton dengan persembahan bertenaga mereka. Manakala Anugerah MAMA 2012 yang baru sahaja berlangsung di Hong Kong baru-baru ini turut boleh disaksikan menerusi Tonton.

Selain itu, Tonton juga bakal menyiarkan perlawanan Tinju Heavyweight Grand Slam - GLORY 4 Tokyo iaitu acara kemuncak 'Ambang Tahun Baru' yang diadakan di Saitama Super Arena.

“Menutup tirai akhir tahun ini, kami begitu gembira menawarkan program hebat buat pelayar setia Tonton menerusi siaran langsung ‘streaming’ acara Glory 4 Tokyo. Malah, kami turut merancang untuk menawarkan lebih banyak acara dan program sukan sempena ketibaan Tahun Baru kelak. Acara kejohanan ONE Fighting juga telah mula ditawarkan di Tonton dan akan datang, siri perlawanan The Challenger Muaythai bakal diperkenalkan”, menurut Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan Media Prima Digital dan Pemasaran Bersepadu, Media Prima Berhad.



Untuk maklumat, kesemua siaran langsung tersebut boleh ditonton menerusi komputer, tablet dan telefon pintar (perisian Android 2.3 dan ke atas / iOS 5 dan ke atas), dan ia terhad untuk penonton di Malaysia sahaja.

No comments: