12 December 2012

KANSER - MAIMON MUTALIB SENASIB AZEAN IRDAWATY


Jika sebelum ini Azean Irdawaty tabah melawan kanser payu dara hingga ada pihak yang menuding jari mengatakan beliau asyik meminta bantuan... namun sebenarnya itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh insan seni. Pendapatan sebagai pelakon atau penyanyi kadangkala hanya gah dimata tanpa bekalan hari esok yang mencukupi.

Nasib yang sama juga dilalui kini oleh pelakon Maimon Mutalib yang mengalami masalah kewangan apabila disahkan mengidap kanser payu dara. Bagaimanapun, dia tetap reda dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan tambah-tambah apabila penyakitnya itu kini berada pada tahap keempat.




"Tak perlulah saya meminta ke sana dan sini atau menagih simpati orang semata-mata untuk melawan penyakit ini habis-habisan.

"Cukuplah saya berikhtiar merawat mengikut kemampuan kewangan saya selagi terdaya.

"Kalau ditakdirkan saya sudah tidak mampu lagi saya reda dan pasrah dengan apa-apa kemungkinan," katanya kepada media semalam.

Untuk info, Maimon sudah menghidap penyakit tersebut selama setahun dan ia semakin merosot hingga dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Malah barah itu juga sudah merebak ke bahagian tulang belakang hingga menyebabkan tulangnya mereput, menjangkiti paru-paru dan bahagian mata kiri sehingga kelopak matanya sukar dibuka.

"Kenyataan hidup ini memang banyak dugaan yang perlu kita hadapi. Saya sudah lama lalui pelbagai kesulitan sejak kematian suami 15 tahun lepas.

"Apabila diduga dengan penyakit ini, saya harus tempuh semampu yang boleh dan tidak perlu saya bersedih atau menagih simpati.

"Saya pun sudah sebulan tak berlakon. Duit simpanan pun sudah habis kerana saya menanggung perbelanjaan keluarga.

"Mujurlah ada juga sumbangan ikhlas kawan-kawan yang sudi membantu meringankan kos rawatan.

"Namun, saya tidak boleh terus mengharapkan bantuan. Selagi termampu saya akan lawan penyakit ini kerana saya tiada banyak duit," ujarnya tabah.

No comments: