11 December 2012

TUNGGAKAN RUMAH - DBKL USIR YAHYA SULUNG?


Lepas satu masalah, timbul pula satu lagi masalah lain!

Demikianlah penderitaan yang dialami oleh pelakon veteran Datuk Yahya Sulung, 84, yang sedang sakit berikutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemungkinan mengusirnya dari kediaman di flat Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Klik untuk imej besar...



Akibat tunggakan yang berjumlah RM800 sejak lapan bulan lalu itu, dia dan isteri, Datin Alisah Ali, 65, telah diminta mengosongkan rumah mereka. Menurut Alisah, fikirannya semakin buntu selepas menerima notis berkenaan kerana perbelanjaan yang terhad tambah-tambah dia kini menghidap kanser paru-paru..

"Benar kami telah menerima notis untuk keluar daripada rumah tersebut kerana gagal menjelaskan sewa selama lapan bulan kerana mengalami masalah kewangan," ujarnya kepada media semalam.



Tambah Alisah, kebiasaannya sewa bulanan rumah itu ialah RM100 dan sebelum ini ia dibayar daripada hasil wang bantuan Baitulmal sejumlah RM400 sebulan. Selain wang itu, dia juga mempunyai wang pencen daripada bekas isteri Yahya yang terdahulu juga berjumlah RM400.

Namun disebabkan mereka berdua mengalami keuzuran, sebilangan besar wang yang diperoleh itu terpaksa digunakan untuk rawatan hospital termasuk perbelanjaan harian rumah.

“Suami saya yang menghidap asma terlalu uzur sementara saya pula sering mengalami kesakitan. Tetapi syukurlah apabila salah seorang anak saudara saya yang tinggal di Setapak membantu untuk menjaga Yahya dan hal seharian,” ujarnya yang malu untuk meminta sumbangan daripada orang ramai.

Bagaimanapun, sebaik mengetahui masalah tersebut, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi akan berbincang dengan DBKL mengenai tunggakan rumah Yahya. Katanya, meskipun masalah tersebut tidak dimaklumkan sendiri oleh pelakon veteran itu kepada Seniman, namun beliau akan tetap berusaha membantu mereka.

No comments: