05 December 2012

SITI NURHALIZA BIMBANG DISERANG KANSER


Apa lagi yang anda cari jika populariti, kemewahan dan kebahagiaan telahpun anda capai dalam hidup? Pastinya bagi segelintir pihak, hanya penjagaan kesihatan dan amal ibadah sahaja yang menjadi tumpuan untuk bekalan hari akhirat yang pasti tiba.

Ini kerana, dewasa ini pelbagai penyakit mampu menyerang kita tidak kira sama ada kita kaya mahupun miskin. Malah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut meluahkan rasa takutnya terhadap pelbagai penyakit terutamanya kanser yang sering menyerang dalaman wanita.

Klik untuk imej besar...



Antara penyakit yang paling digeruninya itu ialah kanser payudara dan rahim, di mana ia sebahagian daripada mahkota tubuh bagi setiap wanita.

"Jika dua organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia adalah organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling.

"Sebab itu saya begitu risau jika terjebak dengan kanser payudara dan rahim.

"Lebih-lebih lagi dengan kehidupan kita yang serba moden serta sering terdedah dengan makanan segera, penyakit-penyakit seperti ini lebih mudah menyerang kita," ujarnya.

Tambah penyanyi kelahiran Kuala Lipis itu, walaupun belum terjebak dengan penyakit-penyakit itu, dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga. Oleh itu, setiap wanita digalakkan untuk membuat ujian kesihatan terutama berkaitan dengan hal-hal penyakit wanita sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

"Risiko untuk mendapat pelbagai jenis penyakit, bukan sahaja berkaitan kanser payudara dan rahim, semakin meningkat dengan peningkatan usia setiap individu.

"Malah, kadar kejadian dikatakan terus meningkat dengan mendadak dari tahun ke tahun akibat gaya hidup moden.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang ialah wanita di Malaysia segan untuk membuat pemeriksaan dan mereka hanya mendapat tahu yang mereka terkena dengan kanser selepas penyakit tersebut sudah berada di peringkat ketiga," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti juga bertegas supaya golongan wanita perlu melakukan rutin senaman kerana ia sedikit sebanyak dapat menaikkan imun pada tubuh badan.

"Pengambilan makanan tambahan juga amat penting. Jangan pandang remeh dengan perkara itu.

"Saya percaya, dengan rutin aktiviti harian yang sangat padat, ambillah masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bersenam. Buatlah apa sahaja asalkan dapat mengeluarkan peluh.

"Alhamdulillah, sepanjang melakukan pelbagai penjagaan diri, saya belum mendapat sebarang penyakit lagi, tetapi itu bukan lesen untuk kita tidak meneruskan membuat pemeriksaan doktor," ujarnya yang pernah mengadakan majlis makan malam amal, Pink Jazzy Affair 2012 bersempena dengan bulan kesedaran penyakit kanser payudara, di Gleneagles Kuala Lumpur.

No comments: