28 June 2013

INFO - TAYANGAN FILEM PERCUMA SEMPENA KL FESTIVAL


Peminat filem tempatan pada tahun ini akan dapat menonton filem secara percuma melalui Program Tayangan Filem anjuran FINAS. Program ini akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai 2013 di Dataran Karyawan FINAS, Hulu Kelang, Selangor.

Filem-filem yang bakal menemui penonton selama 3 hari ini adalah Filem Dua Kalimah (Metrowealth), Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (Tayangan Unggul) dan Rock OO (Grand Brilliant).




"Penayangan Filem secara percuma ini bukan sahaja sekadar mengisi aktiviti sepanjang Festival Kuala Lumpur tetapi ia merupakan salah satu platform terbaik mempromosikan filem-filem tempatan serta dapat menggalakkan para pelancong dan rakyat Malaysia untuk menonton filem tempatan," demikian kata Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Dalnish Shah.

Menurut beliau lagi, judul filem yang dipilih kali ini merupakan filem terkini dan mendapat sambutan semasa ditayangkan di pawagam tempatan. Beliau berharap agar orang ramai dapat hadir untuk menonton filem ini dalam suasana yang berbeza.



Tambahnya, program ini merupakan salah satu pengisian bagi menyemarakkan penganjuran Festival Kuala Lumpur 2013 yang akan berlangsung sepanjang bulan Julai 2013 ini.

"Penganjuran Festival Kuala Lumpur yang masuk tahun ke-8 ini akan memberi peluang kepada masyarakat dan pelancong mendekati keindahan dan kepelbagaian seni budaya dan warisan selaras dengan aspirasi Kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub kebudayaan dan kesenian antarabangsa", Ujar Raja Rozaimie.

Untuk makluman, penonton yang hadir ke tayangan filem ini bukan sahaja dapat menonton filem yang ditayangkan tetapi mereka juga boleh beramah mesra dengan artis- artis yang telah diundang antaranya Awie, Ezlynn, Que Haidar, Pekin Ibrahim,Sofi Jikan dan Khir Rahman.

Selain itu, terdapat juga pelbagai gerai jualan dan promosi disediakan seperti Unifi, Celcom, Astro, Avon, gerai jualan makan minum dan pakaian.   

JADUAL PENAYANGAN
  •   Tajuk Filem:
    Dua Kalimah (Metrowealth) Tarikh: 5 Julai 2013 (Jumaat) Masa: 4.30 petang – 11 malam Tempat : Dataran Karyawan FINAS, Hulu Kelang  
  • Tajuk Filem:
    Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (Tayangan Unggul) Tarikh: 6 Julai 2013 (Sabtu) Masa: 4.30 petang – 11 malam Tempat : Dataran Karyawan FINAS, Hulu Kelang
  • Tajuk Filem:
    Rock OO (Grand Brilliant) Tarikh: 7 Julai 2013 (Ahad) Masa: 4.30 petang – 11 malam Tempat : Dataran Karyawan FINAS, Hulu Kelang


  • No comments: