23 September 2013

INFO - HALIZA MISBUN DAN 'CINTA RIMAU'


Setelah dikhabarkan mendapat hadiah kondo bernilai RM2 juta sempena hari lahirnya yang ke 40 pada 14 Mei lalu, kini Haliza membuat kejutan terbaru apabila bakal muncul dengan blockbuster novel berjudul 'Cinta Rimau'.

Mungkinkah 'Cinta Rimau' ada kena mengena dengan cinta Haliza yang hingga kini tidak kesampaian ke jinjang pelamin?




Rasanya tidak... kerana novel tersebut sebenarnya mengisahkan Hasya Lourdes, wanita lulusan Sarjana Muda Undang-Undang memilih kerjaya penyiasat persendirian berbanding peguam.

Bertitik-tolak dari takdir ibunya, Hasnah yang dipenjara seumur hayat atas kesalahan membunuh suami, status Hasya sebagai ‘anak tidak sah taraf’ yang tidak dituntut oleh mana-mana ahli keluarganya memaksanya membesar dikalangan masyarakat Kristian apabila Sebastian Jones, peguambela ibunya yang berbangsa India, mengambilnya sebagai anak angkat.



Apakah akidahnya sebagai seorang Islam terpelihara? Kehadiran Keris, harimau Bengal dari Afrika Selatan menjadi penawar sekaligus pemangkin kekuatannya dalam mengemudi bahtera kehidupan. Indahnya dunia apabila Hasya dilamun cinta dengan lelaki penuh karismatik, Bahrain Nasution.

Kisah cinta ‘antara dua dunia berbeza’ bertukar menjadi ‘cinta penjuru tiga’ apabila Hasya turut dicintai Rafael, anak tunggal Bahrain. Konflik semakin bercelaru dek etika profesionalisme yang dilanggarnya sendiri dimana Bahrain sebenarnya merupakan suami Regina Ong, klien yang mengupahnya untuk mengintip sang suami. Inikah namanya ‘harapkan pagar, pagar makan padi?’



Berbalik pada kisah Haliza sendiri, katanya jika Allah temukan jodoh, Insya Allah beliau ingin berkahwin. Semuanya disebabkan terlalu ramai yang bertanya bilakah beliau akan berumah tangga? maklumlah... usiapun makin lanjut!

"Saya melihatnya sebagai suatu doa. Bagi saya sendiri, apa jua ketentuan Allah, saya terima dengan hati yang terbuka dan redha kerana yang penting kita bahagia, sama ada masih solo atau sudah berumah tangga," ujarnya.

Untuk info, 'Cinta Rimau' bakal dilancarkan esok di Solaris Dutamas (Publika), Kuala Lumpur jam 11 pagi.

No comments: