12 October 2013

KAMI MOHON MAAF - ARIEL & WAWA


"Saya memohon maaf kerana merahsiakan perkara ini. Pada perancangan asal, kami ingin mengumumkan status perhubungan ini dua tahun lagi iaitu selepas Wawa menamatkan kontraknya dengan Metrowealth International Group (MIG) pada tahun 2015," begitulah alasan Ariel Zafrel, 25, dan Wawa Zainal, 22, berhubung kahwin rahsianya.

Mereka memohon maaf kerana mengambil langkah menipu peminat dan pihak media mengenai status hubungan mereka yang sebenarnya sudah sekian lama menjadi suami isteri.

Gambar pernikahan Ariel & Wawa - Klik untuk imej besar..



"Kami amat menyesal kerana tidak mendedahkan berita berkenaan lebih awal sehingga rahsia berkenaan menjadi bocor," ujar Ariel dipetik sebagai berkata.

Tambah pelakon itu, dia menghormati permintaan Wawa untuk merahsiakan perkara ini kerana takut dimarahi pihak pengurusan. Tetapi tidak sangka pula perkahwinan mereka dilaporkan lebih awal.

Ariel berkata demikian dalam satu majlis yang diadakan di restoran Western 114, Neo Damansara, Petaling Jaya semalam. Mereka berdua ditemani bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong, pengurus Aeril, Shahriman Wahab dan peguam, Zulhasmi Zakaria.



Apa yang membuat Ariel sedih ialah apabila anaknya dianggap sebagai anak tidak sah taraf gara-gara menyembunyikan perkahwinan itu.

Antara alasan mereka menyembunyikan status pernikahan itu adalah kerana peraturan MIG yang melarang artis naungan syarikat itu untuk bercinta. Ini kerana, Aeril sebelum ini pernah menjadi artis MIG tetapi mengambil keputusan untuk keluar sebelum tamat kontrak kerana ingin mendalami ilmu agama Islam dan berdikari.



Terdahulu, Aeril mendedahkan mereka telah bernikah sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 dan 4 Februari lalu di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor.

Pernikahan kali pertama dibuat tanpa didaftarkan dengan pejabat agama tetapi terpaksa melangsungkan akad nikah kali kedua untuk menghormati permintaan keluarga perempuan sebelum ia didaftarkan secara rasmi. Hasil perkahwinan itu mereka telah mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.




WAWANCARA DENGAN ARIEL DAN WAWA

ARIEL: Saya kenal Wawa pada tahun 2010 ketika sama-sama membintangi filem Klik pada 2010 dan selepas itu kami mula bercinta tetapi dihalang oleh pihak pengurusan MIG. Dan kerana itu apabila pihak media dapat menghidu perhubungan ini kami tidak mengaku bercinta.

Kemudian pada tahun 2011 banyak hal berlaku termasuklah saya menerima penyakit keturunan dan selepas itu barulah saya mendekatkan diri kepada Tuhan. Selepas itu pada 2012 saya terus berjumpa bapa Wawa meluahkan hasrat untuk menikahi Wawa. pada masa sama saya tahu kami tak boleh kahwin sebab akan dimarahi pihak pengurusan. Ye lah sedangkan kami tidak boleh bercinta, apalagi berkahwin.

Maka saya membuatkan keputusan untuk menghalalkan perhubungan ini dengan menikahi Wawa pada 25 Februari 2012 di rumah pengurus saya, Shahriman, mengikut syariat Islam, bukan undang-undang negara. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab.

MEDIA: Mengenai penyakit misteri yang dialami Wawa sehingga terpaksa pulang ke kampung di Lahat Datu, Sabah seperti yang dikatakan itu bohonglah?

WAWA: Tidak! Penyakit misteri itu memang betul. Demi Allah, saya dan adik beradik terkena sihir pada awal tahun ini. Jika ada yang menuduh kononnya saya cuba menutup rahsia perkahwinan dengan penyakit misteri, itu tidak benar. Bagaimanapun Alhamdulillah saya sudah kembali pulih.

MEDIA: Tentang anak pula, apa komen kalian?

AERIL: Setiap pasangan pasti akan diberikan anak. Begitu juga dengan kami. Selepas mendapat tahu Wawa mengandung, saya memutuskan untuk menikah sekali lagi pada 4 Februari 2013 di Masjid Jumhuriah, Taman Dato' Harun, Petaling Jaya dan kali ini mengikut undang-undang pula kerana risau anak kami nanti tidak boleh berbinkan nama saya. Dan Alhamdulillah anak kami lahir pada 24 Ogos lalu dan butirannya sama seperti berita yang dilaporkan.

MEDIA: Kenapa nikah dua kali?

AERIL: Sebelum ini kami nikah kerana mahu menghalalkan hubungan. Bukankah kita perlu mendahulukan agama? Kerana jika diikutkan syariat, kami sah sebagai suami isteri.

MEDIA: Kiranya kalian melanggar undang-undang pada mulanya?

AERIL: Kami mahu menghalalkan hubungan sahaja dan mengikut syariat. Cuma tidak didaftarkan sahaja.

MEDIA: Kenapa ambil masa setahun, kemudian baru nak daftar?

AERIL: Kerana Wawa sudah mengandung dan saya perlu memikirkan masa depan anak saya.

MEDIA: Kenapa tipu apabila wartawan tanya tentang perhubungan kalian?

AERIL: Saya nafikan perkara ini kerana hormat permintaan Wawa. Dia takut dimarahi MIG. Sebab itu kami terpaksa rahsiakan. Lagi pun memang kami ada rancang untuk memberitahu hubungan ini selepas tamatnya kontrak Wawa dengan MIG pada 2015. Tetapi ia dibongkar terlebih dahulu oleh pihak media. Sekarang ini saya rasa seperti dalam peperangan ketika menghadapi situasi ini.

WAWA: Macam ini, kami meminta maaf kepada semua kerana penafian ini. Apa yang dilakukan semuanya bersebab.

MEDIA: Kenapa nak takut dengan David Teo (Ketua Pegawai Eksekutif MIG) pula?

WAWA: Kamu semua tidak tahu bagaimana cara pengurusan MIG. Memang saya takut dimarahi David. Mereka pernah kuarantin saya selama sebulan semata-mata mahu menghalang saya berjumpa dengan Aeril. Dan bukan senang untuk saya keluar daripada MIG.

MEDIA: Jadi kontrak sekarang macam mana?

WAWA: Saya masih mahu meneruskan karier lakonan, tetapi tentang kontrak saya tak pasti.

MEDIA: Sebelum ini Wawa kata kena sihir dan pada masa sama Wawa mengandung. Macam mana pula ceritanya itu?

WAWA: Saya terkena sihir ketika bulan Mac (2013) dan masa itu memang sedang mengandung. Alhamdulillah penyakit saya itu sudah sembuh sebelum melahirkan anak lagi.

MEDIA: Menyesal kerana tidak mendedahkan perkara ini lebih awal?

AERIL: Ya saya menyesal kerana tidak mendedahkan status perhubungan ini lebih awal dan pada masa sama tertanya-tanya apakah tujuan wartawan itu mendedahkan hal kami? Mengaku atau tidak, itu hak kami untuk memberitahu.

Saya sedih apabila banyak tohmahan dilemparkan kononnya anak saya tidak sah taraf. Apabila tengok anak sedang tidur, saya menangis sedih kerana anak itu dianggap anak haram. Saya tak kisah diri ini dihina, tetapi disebabkan pihak itu mendedahkan anak saya tanpa kebenaran, buatkan saya sedih.


WAWANCARA DENGAN DAVID TEO
DAVID NAFI HALANG CINTA

Sementara David Teo yang dihubungi media pula menafikan dakwaan pihaknya tidak memberi kelonggaran kepada artis naungan mereka berkahwin.

Katanya, walaupun dalam kontrak menjelaskan seseorang artis di bawah jagaan MIG dilarang bercinta, tetapi mereka tetap memberi kelonggaran sekiranya artis tersebut mengesahkan status masing-masing.

MEDIA: Adakah benar David menghalang cinta Aeril dan Wawa?

DAVID: Saya menafikan sekeras-kerasnya. Memang dalam kontrak kami tidak membenarkan artis bercinta. Tetapi mereka boleh membuat pengesahan kepada pihak pengurusan sekiranya mereka sudah berkahwin.

Kami membuat perkara ini bagi menjaga maruah artis itu dan untuk mengelak perkara yang tidak diingini seperti ditangkap khalwat selain menjaga nama baik syarikat, itu sahaja. Cuba lihat artis-artis sebelum ini seperti Lisa Surihani, Farid Kamil dan terbaharu, Diana Amir, mereka semua membuat pengesahan dengan pihak syarikat mengenai status diri masing-masing.

MEDIA: Adakah benar MIG sendiri pernah mengkuarantin Wawa?

DAVID: Tidak mungkin! Itu tuduhan mengarut. Jika benar di kuarantin, macam mana Wawa boleh menyelinap keluar daripada kediaman yang pihak MIG sediakan untuk berjumpa dengan Aeril? Dan jika di kuarantin, maka mereka tidak mungkin boleh ada anak, bukan?

MEDIA: Dalam situasi sekarang ini, adakah David masih menerima Wawa sebagai artis MIG?

DAVID: Setakat ini dia tidak melanggar kontrak. Cuma dia tidak membuat pengesahan mengenai statusnya sebagai isteri dan ibu. Ya, saya masih menerimanya kerana kejelitaannya yang dilihat boleh pergi jauh dalam industri seni tempatan.



Sumber: MStar

No comments: