13 January 2014

UPDATE: SAH MERISIK, KAHWIN FEBRUARI INI - IBU SYAMSUL



Memang kami sekeluarga sudah merisik Puteri Sarah Liyana untuk Syamsul Yusof pada Ahad lalu di Sri Damansara. Demikian pengakuan ibu Syamsul iaitu Patimah Ismail mengenai gambar merisik yang tersiar hari ini.

Lebih menarik, Patimah juga mengesahkan bahawa Syamsul juga akan segera berkahwin dengan Sarah pada bulan Februari ini. Pernikahan segera itu katanya adalah atas persetujuan kedua-dua pihak apabila anaknya Syamsul mahu ia disegerakan.





"Majlis merisik itu diadakan secara ringkas dan saya telah menyarungkan sebentuk cincin di jari Sarah namun tiada sebarang majlis pertunangan diadakan kerana Syamsul mahu bernikah terus dengan Sarah.

"Insya-Allah mereka akan disatukan pada Februari ini namun pihak kami masih berbincang tarikh sesuai untuk mengadakan majlis itu," kata Patimah.



Terdahulu, Patimah menerangkan bahawa Syamsul menyampaikan hasrat untuk berkahwin dengan Sarah selepas pulang daripada mengerjakan Umrah pada 28 Disember lalu. Menurut Syamsul, dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga selepas berdoa di tanah suci dan yakin Sarah adalah pilihan terbaik untuk dijadikan isteri.

"Kata Syamsul sepanjang berdoa di Mekah dia hanya nampak Sarah sebagai calon isterinya dan membuatkan dia lebih yakin untuk memperisterikan wanita itu.

"Sekembalinya dia dari Umrah dia menyatakan hasratnya dan sebagai ibu sudah tentu saya berasa gembira dengan keputusannya itu," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Patimah berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan majlis sambut menantu bersama-sama dengan anak bongsunya, pengarah, Syafiq Yusof yang akan turut berkahwin pada Jun depan.

"Sebagai ibu, saya menerima pilihan anak saya kerana kebahagiaan Syamsul adalah kegembiraan buat saya dan suami (Datuk Yusof Haslam). Saya dan suami gembira anak kami akhirnya bakal berkahwin.

"Saya lihat juga dia (Puteri Sarah) seorang yang sangat bijak malah keluarganya juga saya tengok sangat mesra dan mempunyai latar pendidikan yang tinggi.

"Pilihan Syamsul, saya dan suami restu kerana kebahagiaan dia adalah kegembiraan kami sekeluarga," ujarnya dipetik sebagai berkata kepada Mstar.


No comments: