26 March 2014

HORMATI MANGSA MH370 - KONSERT KITA 20FORTEEN DITUNDA



Bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat MH 370, KRU Music Sdn. Bhd. dan Forteen melahirkan rasa simpati kepada semua yang terlibat. Sehubungan itu, mereka mengambil keputusan mengumumkan penundaan konsert KITA 20FORTEEN yang sepatutnya diadakan pada hari Sabtu ini, 29hb Mac 2014 ditunda kepada 26hb April 2014.

"Kami amat bersimpati dan bersedih dengan kejadian yang menimpa penumpang dan anak-anak kapal MH 370, kami merasakan adalah tidak wajar untuk meneruskan konsert KITA 20FORTEEN yang dijadualkan pada 29hb Mac 2014, disaat kita masih lagi dalam keadaan berduka dan harapan kami masih berterusan bersama yang lain agar usaha pencarian yang sedang giat dilakukan akan berjaya.





"Penundaan ini melibatkan ramai pihak dan bakal menimbulkan kesulitan terutama kepada pembeli tiket konsert KITA 20FORTEEN, tetapi pihak kami amat berharap agar mereka yang terlibat dapat memahami dan menghormati keputusan ini.

"Forteen yang sedang giat berlatih untuk menjayakan konsert pertama mereka turut redha dengan keputusan yang diambil malah melahirkan rasa simpati kepada penumpang, anak-anak kapal MH 370 dan keluarga mangsa yang terlibat untuk sentiasa tabah dan berdoa," ujar Norman Abdul Halim, selaku Ketua Pegawai Eksekutif, KRU Music

"Kami berasa tidak sedap hati untuk meneruskan persembahan disaat kita masih bersedih dan kami bersetuju dengan penundaan ini, sementara itu kami juga ingin meminta maaf kepada semua peminat sekiranya penundaan ini telah menimbulkan sebarang permasalahan disebabkan ada diantara mereka yang telah melakukan perancangan awal bagi menghadiri konsert kami terutama kepada peminat kami di luar dari Kuala Lumpur," jelas Ariz mewakili rakan Forteen yang lain.

Tarikh baru yang dipilih untuk konsert KITA 20FORTEEN adalah pada 26hb April 2014 (Sabtu), bertempat di KL Live @ Life Centre, Jalan Sultan Ismail.

Kepada orang ramai yang telah membeli tiket Konsert KITA 20FORTEEN yang bertarikh 29hb Mac 2014 mereka masih boleh menggunakan tiket tersebut pada 26hb April 2014 dan kepada mereka yang ingin memulangkan tiket yang telah dibeli sebarang pertanyaan boleh diajukan ke enquiries@unitedstudios.net.


Artikel ini disediakan oleh: KRU MUSIC


         ________________________


No comments: