Kalau dah jodoh tak ke mana!
Demikianlah halnya dengan pelakon seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu Ruminah Sidek, 68, yang bertemu kasih dengan Al Fatah Rahim, 70. Apa yang menarik, cinta mereka berputik sewaktu mereka bersama mengerjakan umrah di Mekah Mac lalu.
Semuanya gara-gara Ruminah yang lebih mesra disapa Mak Mah, tiba-tiba berasa sunyi jiwanya sehingga timbul keinginan untuk berkahwin lagi. Sementara Al Fatah pula bagaikan mempunyai citarasa yang sama apabila mengerjakan umrah sambil berdoa agar dikurniakan seorang isteri.
"Selama ini, setiap kali mengerjakan umrah, peraaan saya hanya biasa sahaja tetapi untuk kali ini, saya berasa sangat sunyi. Terasa mahu berteman pula.
"Saya berdoa kepada Allah agar memperkenankan doa saya kerana saya sudah rasa penat hidup sendirian.
"Hendak dijadikan cerita, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya berkenalan dengan Fatah dan dia berkongsi cerita iaitu hajatnya berdoa agar dipertemukan jodoh.
"Mendengar cerita itu, kami pun berbincang hasrat mendirikan rumah tangga,” kata Ruminah secara terus-terang.
Bagaimanapun, sesekali hati Mak Mah tiba-tiba sebak dan mengalirkan air mata kerana terlalu gembira dengan jodoh yang dipertemukan Allah itu.
Untuk makluman, baru-baru ini (19 April) Mak Mah dan Al Fatah telah selamat mengikat tali pertunangan di rumah abang ipar Mak Mah di Meru, Klang, Selangor.
Dalam majlis tersebut, Mak Mah menerima lima dulang hantaran berserta sebentuk cincin manakala pihak lelaki turut menerima hantaran bilangan yang sama.
Mereka berdua akan melangsungkan pernikahan pada 17 Mei depan di Meru.
Selepas pernikahan nanti, nampaknya keluarga Mak Mah akan bertambah besar kerana Al Fatah yang merupakan duda dan peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan, mempunyai sepuluh orang anak.
"Saya bersyukur dan tidak sangka sebenarnya dapat menghabiskan baki hidup saya dengan seorang suami. Alhamdulillah.
"Dia (Fatah) juga berjanji akan membawa saya berjalan-jalan di Felda selepas kami berkahwin nanti," ujar Mak Mah yang tidak menyangka akan berkahwin lagi pada usia emas.
Ini kerana, sebelum ini Ruminah pernah berkahwin sebanyak tiga kali termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel. Hasil kesemua perkahwinannya itu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie serta mempunyai 20 cucu dan enam cicit.
________________________
No comments:
Post a Comment