17 April 2014

TAK BERTUDUNG TAK SEMESTI MASUK NERAKA – RAJA AZMI



Gara-gara luahan Raja Azmi mengenai permakaian tudung menerusi sebuah program TV tempatan, ramai pihak yang marah dengan penerbit filem itu. Dakwa mereka, Raja Azmi seolah tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

Mungkin terasa hati dengan pelbagai kecaman tersebut, Raja Azmi tampil semula menjelaskan mengenai permakaian tudung yang menjadi isu hangat itu.





"Kenapa ramai yang tidak berpuas hati dengan kenyataan saya yang tidak bersetuju wanita tak bertudung akan masuk neraka?

"Sebenarnya saya bercakap sebagai seorang Islam yang punya pandangan tersendiri. Tak semestinya wanita yang bertudung itu sah akan masuk syurga tanpa dihisab dengan amalan yang lain.

"Adakah berdosa besar saya yang baru pulang dari Umrah ini tidak bertudung? Menutup aurat bukan di kepala sahaja.



"Saya tidak mahu tudung itu digunakan untuk menutup segala kesalahan yang lain tanpa menitik beratkan amalan yang lain," ujarnya.

Tambah Raja Azmi, dia masih belum bersedia untuk bertudung kerana dia ingin melengkapkan amalan yang lain dahulu.

"Kak Mi akan pakai (tudung) bila-bila Kak Mi nak pakai seperti pergi majlis keagamaan. Tapi hari-hari biasa tu Kak Mi rasa tu tak perlu.

"Pada saya, lebih baik saya mempertingkatkan amalan ibadah dan jariah yang lain dahulu sebelum mengambil keputusan bertudung sepenuhnya," katanya yang membahasakan diri sebagai Kak Mi.

Selanjutnya penerbit itu memberi perbandingan bahawa wanita yang bertudung juga ada melakukan perbuatan maksiat.

"Sekarang ini pun wanita bertudung ramai juga yang melakukan zina dan maksiat. Di akhbar juga banyak wanita bertudung dilaporkan melakukan aktiviti tidak bermoral dan sebagainya. Paling teruk ada juga yang sanggup menipu pakej Umrah dengan hanya berpakaian seperti orang yang alim dan baik," jelasnya seolah mahu memulang paku buah keras.

Namun begitu, dalam hal ini kami bukanlah pakar agama untuk mengiyakan hujah Raja Azmi atau tidak. Apa yang kami tahu, menutup aurat itu adalah wajib bagi wanita muslim kerana ia adalah perintah Allah SWT.

"Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat". Surah Al.A'araaf (26)


         ________________________


No comments: