Berita sedih buat peminat biduanita Datuk Sharifah Aini, 61. Penyanyi bersuara lunak merdu itu kini terlantar di wad sebuah hospital swasta di ibu negara bagi menjalani rawatan rapi disebabkan jangkitan kuman pada paru-parunya.
Bagaimanapunn, keadaan kesihatannya kini dilaporkan stabil. Untuk makluman semua, Sharifah telah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) sejak lima bulan lalu.
Meskipun makin stabil, namun setakat ini Sharifah masih belum bersedia untuk menerima pelawat disebabkan daya ketahanan tubuhnya yang agak lemah.
"Setiap daripada kita tidak tahu bila akan dijemput oleh-Nya. Jika ditakdirkan Allah, tiba masanya untuk saya pulang ke rahmatullah dan keluar daripada hospital sebagai jenazah, dengan hati yang damai dan tenang saya reda apa yang telah ditetapkan.
"Hanya satu saya pinta, doakan saya berakhir dalam khusnul khotimah (mati dalam keadaan yang baik). Di kesempatan ini juga, saya ingin memberitahu pada semua bahawa saya amat menyayangi dan menghargai kasih sayang serta doa daripada anda semua," katanya yang dipetik melalui laman sosialnya.
"Seandainya saya sudah tiada, gunakanlah Facebook ini ke arah kebaikan, demi menjaga silaturahim, saling menasihati antara satu sama lain dan bukan untuk mengumpat atau menabur fitnah. Segala perbuatan yang sia-sia akan mendatangkan dosa, kasihanilah diri anda sendiri," nasihatnya yang sudah 45 tahun berkecimpung dalam bidang seni.
Marilah kita bersama doakan agar Sharifah Aini terus diberi kekuatan dan mampu sembuh seperti sediakala. Amin.
________________________
No comments:
Post a Comment