10 July 2014

DEMI ANAK - BEEGO KERJA KERAS, LINDA HASHIM 'SURI RUMAH' SEPENUH MASA



"Kini barulah saya faham apa itu pengorbanan. Kenapa dulu-dulu ibu dan bapa kita selalu risaukan kita… Saya rasa semakin bertanggungjawab dari hari ke hari," demikian kata Beego mengenai peranan dia dan isterinya sejak mempunyai anak.

Jelas Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, dia kini lebih banyak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.





"Kalau saya masih belum berkahwin dan tidak mempunyai anak, saya tidak akan faham kenapa dulu-dulu ibu dan bapa saya selalu marah kalau saya degil.

"Sejak lihat Linda melahirkan anak kami, saya sudah mula mengerti perasaan dan kesusahan itu, saya akan mengingatkan perkara yang sama kepada anak saya nanti," tambahnya sambil tersenyum.

Klik gambar untuk size besar


Beego berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Air Asia dan Air Asia-X baru-baru ini.

Dia kini bekerja keras untuk isteri tercintanya Linda Hashim dan anak mereka Jelita Clarissa. Semua itu dilakukannya setelah dia memahami erti pengorbanan insan yang bergelar ibu bapa.



"Sekarang Linda tidak bekerja, jadi sebagai ketua keluarga saya perlu kerja kuat, barang-barang bayi pula bukan murah.

"Demi mereka, saya akan bekerja kuat. Dari segi bantuan pula saya akan tolong Linda uruskan hal rumah tangga kalau tak ada penggambaran,” jelasnya tanpa berselindung.



Ditanya mengenai isterinya sekarang, kata Beego Linda tidak mempunyai masalah untuk menguruskan perihal rumah tangga.

"Menguruskan anak memang satu pengalaman yang baru buat kami. Setakat ini tiada masalah… Saya terharu kerana Linda sangat sabar melayan kerenah anak kami.



"Saya kagumi pengorbanan isteri saya, bangun tengah malam susukan anak. Dia tak cukup rehat tetapi dia tetap sabar jalankan tanggungjawab sebagai ibu… Jujur saya katakan…Saya bersyukur dipertemukan dengan Linda. Alhamdulillah," ujarnya lagi.

Menurut Beego, usia anaknya kini sudah masuk dua bulan dan semakin sihat tetapi dia dan isteri sedikit risau kerana anaknya kerap meragam dan menangis terutamanya waktu Maghrib.

"Tapi saya tak rasa ada gangguan lain sebab sekarang ni kan Ramadan… Mungkin dia meragam sebab rutin tidur dia… Jelita selalunya akan tidur panjang selepas waktu Maghrib dan terjaga pada tengah malam,” kata Beego.











         ________________________


No comments: