22 July 2014

ISU KENA PECAT: NAJMAN BERHENTI SECARA BAIK - JAKE ABDULLAH



"Najman secara rasminya telah menamatkan perkhidmatannya bersama Astro Radio secara baik," demikian kata Ketua Pegawai Operasi Astro Radio, Jake Abdullah.

Beliau turut mengakui, penyampai radio tersebut sudah pun menamatkan perkhidmatannya dengan stesen radio Sinar FM, sekaligus daripada Astro Radio.





"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan beliau kepada Sinar FM dan semoga dia berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi di masa akan datang,” tambahnya.

Bagaimanapun, kenyataan Jake itu masih sukar dipercayai oleh kebanyakan peminat Najman yang mendakwa Deejay itu dianiaya apabila diberhentikan begitu sahaja.

Untuk info, Najman memulakan karier separuh masa sebagai penyampai radio di stesen Best 104 FM pada tahun 1989 dan diserap sebagai penyampai tetap pada 1991.



Setelah berkhidmat lebih kurang lapan tahun, Najman telah ke saluran radio Era FM dan kemudian dipindahkan ke Sinar FM pada tahun 2004, kira-kira 10 tahun lalu.

Dalam laporan baru-baru ini, Najman, 44, yang bekerja secara kontrak di saluran radio itu berkata, dia terkejut dengan tindakan pihak pengurusan Astro Radio yang membuat keputusan tersebut tanpa memberi sebarang alasan kukuh sebab-sebab pemecatannya.

"Benar, saya sudah diberhentikan pada 11 Julai lalu dan saya tidak tahu punca sebenar mereka bertindak begitu.

"Mereka hanya memberi alasan kononnya saya tidak memberi khidmat cemerlang dalam stesen itu sedangkan sudah 10 tahun saya bersama Sinar FM," dakwanya.


         ________________________


No comments: