08 July 2014

MENANG SAMAN - JOHAN RAJA LAWAK HANYA DAPAT RM170,100



Jika sebelum ini (7 Januari 2014) ada segelintir pihak yang mengucapkan tahniah kepada Johan Raja Lawak kerana memenangi kes saman yang melibatkan jumlah RM1 juta, namun terkini Mahkamah Tinggi memerintahkan Johan diberi ganti rugi sejumlah RM170,100 sahaja.

Arahan tersebut adalah sebagai ganti rugi kecederaan yang dialami pelawak itu dalam penggambaran di sekitar Negeri Sembilan pada 2010.





Dalam penghakiman itu, Hakim Datuk Su Geok Yiam turut memerintahkan Pengarah Mohd Javed Mohd Nizar serta syarikat penerbitannya, Juara Filem Production Sdn Bhd membayar kos perubatan RM100 kepada Johan serta faedah lima peratus bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya selaku defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri pelakon dan pelawak itu, Rozlinawaty Ismail serta faedah lima peratus.



Selain itu, kedua-dua defendan juga diperintahkan membayar kos RM50,000 kepada Johan dan Rozlinawaty.

"Kecederaan yang dihadapi pada wajah Johan menyebabkan parut kekal dan sebagai seorang pelakon Johan bergantung kepada wajahnya untuk mencari pendapatan, akibat daripada kecederaan itu telah menjejaskan kerjayanya sebagai seorang pelakon," Kata Hakim yang turut mengambil kira bahawa plaintif merupakan seorang pelakon dan bergantung kepada wajahnya untuk mencari sumber pendapatan.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang bukti ditunjukkan oleh plaintif mengenai kehilangan pendapatan yang sebenar ketika kejadian.

Untuk rekod, Johan membuat tuntutan saman terhadap pengarah Mohd Javed menerusi syarikat produksi Juara Filem Productions Sdn Bhd pada Jun 2010, agar membayar RM1 juta sebagai ganti rugi berikutan kes dibaling gelas sehingga menyebabkan kecederaan di dahi pada Mei 2010.



         ________________________


No comments: