09 July 2014

SAYA MAHU MENINGGAL DUNIA SEPERTI SHARIFAH AINI - RAJA AZMI



Anak yang soleh, cara meninggal dunia yang tenang telah menjadi satu inspirasi buat Raja Azmi. Kata penerbit filem itu, kalau boleh dia juga mahu meninggal dunia sebagaimana Biduanita Negara Allahyarham Sharifah Aini satu hari nanti.

Sebagai permulaan, Raja Azmi telah bertindak membuang kira-kira 300 keping gambar lamanya yang masih tidak bertudung di laman sosial. Mungkin lebih banyak perkara baik yang akan dilakukannya kelak demi mencapai hasrat murninya itu.





"Selepas sembahyang subuh hati saya terdetik untuk membuang gambar-gambar lama yang tidak bertudung, saya rasa gambar-gambar itu tidak sesuai untuk dipertontonkan lagi kepada umum, kalau boleh saya mahu pergi seperti Allahyarham Sharifah Aini.

"Saya lihat pemergian Allahyarham Sharifah Aini sangat tenang dan di dalam keadaan yang dia sudah bersedia untuk menemui Tuhan. Allahyarham meninggal dalam bulan Ramadan dan Allah permudahkan segala urusan kematiannya, dia juga bertuah mendapat anak yang soleh," ujarnya dipetik sebagai berkata.



Bagaimanapun, dia tidak mempunyai halangan jika gambar-gambar tidak bertudungnya itu keluar daripada simpanan pihak lain terutama media.

Terdahulu, katanya sebagai insan yang baharu sahaja berhijrah, dia sentiasa mencari dan berusaha untuk membetulkan kesilapan lampau.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat tenang lepas membuang gambar-gambar tersebut, selepas bertudung ini saya banyak mencari apa yang tidak betul lagi dalam diri saya.

"Saya nampak Allah taala tunjuk satu persatu apa yang patut saya perbaiki bagi menjadi seorang insan yang lebih baik," katanya yang mula mengaji semula dan membuat pelbagai ibadah di bulan Ramadan.



         ________________________


No comments: