07 August 2014

TIDAK HADIR KE MAHKAMAH - PROSES SULH AWIE & ROZANA GAGAL



Akibat Rozana Misbun tidak hadir ke mahkamah semalam, proses Sulh dan rundingan yang sepetutnya menemukannya dengan Awie gagal.

Proses Sulh yang diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan itu adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian, yang melibatkan satu atau lebih tuntutan dengan dikendalikan oleh pegawai sulh.

Bagaimanapun, Awie tidak dapat memberi komen disebabkan ketidakhadiran Rozana itu kerana tiada sebarang perbincangan yang berlaku. Bila ditanya apakah punca ketidakhadiran isterinya itu, Awie secara berseloroh mengatakan kemungkinan Rozana 'datang bulan'.





Dalam pada itu, peguam Awie, Mohd Hafizal memberitahu, rundingan tersebut sepatutnya diadakan bagi membincangkan mengenai soal hak penjagaan anak secara kekal (hadanah) terhadap tiga anak mereka.

Jelas Mohd Hafizal, ekoran kegagalan Rozana hadir pada rundingan tersebut, pihak mahkamah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan untuk dibicarakan.

Selain Awie selaku plaintif dan Mohd Hafizal, proses Sulh yang berlangsung selama 10 minit itu turut dihadiri oleh Pegawai Sulh, Surayah Ramli.



Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur.

Mahkamah turut membenarkan permohonan injunksi oleh Awie untuk menghalang Rozana, 36, daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

Sebagai rekod, Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.


         ________________________




No comments: