27 October 2014

JATUH DITIMPA TANGGA - SELEPAS UIAM, RAJA AZMI DILARANG KE UITM PULA



Jika sebelum ini pelakon dan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, dilarang melakukan dialog bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, terkini beliau dilarang pula ke UiTM, Shah Alam, Selangor.

Larangan tersebut timbul ketika Raja Azmi mahu mempromosikan novel 'Karkuma' termasuk mengadakan pertemuan dan dialog bersama pelajar universiti. Ia dijadualkan berlangsung semalam (Ahad 26 Oktober) bersempena dengan ArtFest anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist universiti terbabit.





Difahamkan, Raja Azmi dijemput untuk mengisi slot festival seni mereka dan telah bersetuju untuk diadakan tayangan filem 'Dalam Botol'. Selain itu, ia akan diikuti pula dengan sessi dialog bersama orang ramai.

Filem 'Dalam Botol' merupakan filem terbitan Raja Azmi dan diarahkan oleh Khir Rahman.

Namun, pada hari yang dijadualkan (26 Oktober), pihak penerbit Merpati Jingga mendapat panggilan yang memaklumkan bahawa Raja Azmi tidak dibenarkan mengadakan sessi tersebut. Menurut surat pembatalan yang dihantar sendiri oleh Pengarah Program Rul Iman Nur Rahidzab dengan tangan, mereka dimaklumkan bahawa ia merupakan arahan daripada pihak atasan UiTM.

Klik gambar untuk size besar


"Pihak kami berusaha untuk bertemu dengan mana-mana pihak atasan yang dinyatakan di dalam surat berkenaan untuk mendapat penjelasan tetapi malangnya tiada sesiapa yang tampil untuk bersemuka dengan wakil kami mahupun Raja Azmi sendiri yang sudah sampai ke tapak acara bagi slot tersebut.

"Bagi pihak Raja Azmi dan penerbit novel 'Karkuma', kami menganggap tindakan pihak HEP yang menghalang Raja Azmi untuk berdialog dengan para pelajar adalah suatu yang tidak professional dan cuba untuk menjatuhkan airmuka beliau.



"Untuk pengetahuan, semua jemputan dibuat oleh pihak penganjur kepada pihak kami atas dasar sukarela dan tidak menyediakan sebarang bayaran.

"Kami ingin menekan di sini bahawa halangan sebegini bukanlah etika dalam penganjuran sesebuah festival. Notis yang dikeluarkan pada saat-saat akhir acara telah menyusahkan banyak pihak. Seperti UIAM Kuantan, kami merasakan pihak HEP UiTM Shah Alam juga bertindak sebagai polis moral yang mengongkong kebebasan berkarya dan untuk memperoleh pengetahuan," demikian ujar pihak Merpati Jingga.

Tambah mereka, sebarang penganjur yang ingin menjemput mana-mana penulis atau artis Merpati Jingga haruslah memeriksa dahulu dengan pihak atasan mereka agar tidak menyusahkan ramai pihak.

Bagaimanapun, sessi penampilan Raja Azmi dan promosi 'Karkuma' tetap diteruskan di MPH Nu Sentral pada 9 November 2014 dan MPH SACC Mall Shah Alam pada 16 November 2014.



         ________________________




No comments: