06 November 2014

SUSULAN GAMBAR KANDID : AMELINA BELUM BERTUDUNG, BAKAL BUAT COMEBACK - MAYA



Masihkah anda ingat dengan gambar-gambar kandid yang kami siarkan baru-baru ini mengenai pertemuan Amelina dan Maya (Matahari) di Bangsar Shopping Centre (BSC)?

Ikhlasnya, bukan soal tudung yang mahu diketengahkan, tetapi pertemuan mereka yang kemungkinan mahu membuat album baru atau 'comeback'. Namun disebabkan tiada gambar Amelina terbaru, hanya gambar bertudungnya yang dapat dibuat bandingan dengan gambar kandid kami.

Artikel terdahulu:

"Setakat ini, memang benar dia akan membuat kemunculan kembali. InsyaAllah dia akan bekerjasama dengan komposer ini. Kami tidak mahu memaklumkan siapa komposer tersebut. InsyaAllah apabila semuanya selesai, kami akan khabarkan kepada semua. Apa-apa pun kita tunggu pengesahan daripada tuan empunya badan tidak lama lagi," ujar sumber terdekat dengan komposer yang dimaksudkan ini.






Dengarnya lagi, Amelina bakal merakamkan sebuah lagu baru yang masih mengekalkan rentak dangdut tetapi iramanya lebih moden dan terkini. Berita ini pastinya menggembirakan peminat-peminat Amelina yang sudah lama menantikan kemunculannya di pentas seni selepas sekian lama dia menghilangkan diri.

Selanjutnya disebabkan gambar kandid tersebut menjadi viral, beberapa media lain juga telah menghubungi Maya dan beliau sudi berkongsi cerita pertemuannya dengan penyanyi yang pernah meledakkan irama dangdut suatu ketika dulu.

"Kami selalu berhubungan. Nak kira lama itu bolehlah juga. Kiranya hubungan kami secara sekali sekala. Sesekali kami berhubung bertanya khabar. Almaklumlah nak jumpa susah dan kami masing-masing pun mempunyai komitmen tersendiri.

"Pendek kata memang susah nak jumpa. Cuma pernah suatu hari saya katakan kepadanya, kita perlu bersua juga. Alhamdulillah jadi juga pertemuan kami.



"Cuma tak sangka ada orang yang menyedari kehadiran dia ketika kami berjumpa dan mengambil gambar kandid kami.

"Saya sendiri perasan perkara itu... dan tak sangka ia menjadi topik di laman sosial," ujar Maya dipetik sebagai berkata.

Maya sempat ditanya mengenai status sebenar Amelina sama ada sudah bertudung atau tidak sebenarnya. Kata Maya, penyanyi itu belum bertudung seperti yang disangka.

"Selama ini memang orang sudah salah erti mengenai imejnya ketika timbulnya cerita suatu ketika dulu mengenai isu rumah di Kota Kemuning, Shah Alam. Ketika isu itu timbul, dia tak nak orang kenal dan mungkin sebab itu juga dia mengenakan tudung.

"Tapi biasalah orang masih dapat cam wajahnya," katanya.

Maya sempat ditanya mengenai kehidupan Amelina. Umum tahu, rumah tangga yang dibina penyanyi dangdut itu terus menjadi tanda tanya dan rahsia. Selepas berkahwin, Amelina terus hilang daripada pandangan dunia seni.

"Setahu saya dia gembira dengan kehidupannya. Cuma bab rumah tangga saya tak pasti kerana selalunya kami tak cakap mengenai hal itu. Kami banyak berkongsi memori lama mengenai dunia seni. Dia pun sebenarnya masih mengambil tahu perihal dunia seni," katanya.

Ditanya apakah benar, Amelina bakal memeriahkan kembali dunia seni tak lama lagi, Maya memberitahu perkara itu berkemungkinan besar akan menjadi kenyataan.

Maya sendiri juga dijangka keluar dengan single terbaru tahun depan.


         ________________________




No comments: