13 April 2015

BELUM MASA BERKAHWIN - HUBUNGAN CINTA JIHAN & HARIZ MAKIN BERBUNGA



Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua!

Demikian juga perihal cinta pelawak dan pengacara Jihan Musa dengan kekasih hatinya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 30, seorang pelakon yang sedang menungkat naik.

Percintaan yang disorokkan selama lapan tahun akhirnya dapat dihidu jua oleh media ketika mereka hadir di ABPBH 2014 baru-baru ini.





Bila ditanya apakah kemunculan mereka bersama itu bagai memberi tanda bahawa mereka sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh ke alam perkahwinan, jawab Jihan ia tiada kena mengena dengan perkara itu.

"Ia tiada kena mengena dengan kami mahu berkahwin atau melihat maklum balas peminat. Sebelum ini pun saya muncul di beberapa majlis bersama Hariz," ujar Jihan.

“Saya tidak mahu soal cinta lebih menonjol, apatah lagi Hariz tidak menggemarinya. Saya dan Hariz pendatang baru, kalau belum apa-apa sudah jaja cerita begitu, takut nanti orang meluat.



"Bukankah jodoh itu Allah yang tentukan. Saya tidak pernah meletakkan sasaran waktu bila kami harus bernikah. Pernah sebelum ini saya membuat perancangan akan bernikah pada usia 23 tahun, tetapi gagal.

"Kemudian saya sekali lagi membuat perancangan untuk bernikah pada usia 27 tahun, tetapi ia tetap tidak berlaku juga. Sekarang apabila usia melepasi 30 tahun, saya langsung tidak meletakkan sasaran.

"Kalau datang jodoh, saya terima dengan tangan terbuka, sama ada cepat mahupun lambat,” tambahnya dipetik sebagai berkata.

Bagi Hariz pula, katanya jadual Jihan yang terlalu sibuk dan jadualnya yang penuh hingga tahun depan menjadi punca kelewatan berumah tangga.



"Jadi bagaimana kami boleh mengatur supaya majlis pernikahan dapat dilaksanakan. Pada saya, biar kami tumpukan perhatian pada kerjaya terlebih dulu. Kalau sampai masa dan tiba jodoh, kami tetap akan bernikah.

"Kebetulan saya baru habis penggambaran filem Polis Evo dan drama Isteri Separuh Masa, membuatkan saya punya masa terluang menemani Jihan dan memberi sokongan terhadap Jihan yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Komedi Wanita Popular.

"Itukan rezeki yang ditentukan. Apa juga pencapaian Jihan, saya tetap berasa bangga dan tumpang gembira. Lagipun, saya dan Jihan dalam bidang sama.

"Saya faham kerja Jihan dan begitulah sebaliknya. Jadi tidak ada perkara yang boleh dijadikan isu untuk kami berselisih faham," jelasnya.



         ________________________




No comments: