15 June 2015

ALAMI SESAK NAFAS KETIKA KONSERT JELAJAH SEPAHTU - RAHIM DIKEJARKAN KE HOSPITAL



Pelawak Rahim atau nama sebenarnya Rahim Mat Ali, 45, telah mengalami sesak nafas sejurus selesai mengadakan Konsert Jelajah Sepahtu yang diadakan di Kompleks Sukan Jengka.

Menurut Rahim, dia mengalami sesak nafas akibat daripada serangan gastrik dan rakan-rakannya telah membawanya ke Hospital Jengka, Pahang untuk mendapatkan rawatan.

"Sebenarnya ia tidak begitu serius cuma sewaktu selesai mengadakan persembahan saya mengalami masalah sukar untuk bernafas akibat daripada gastrik.

Klik gambar untuk size besar




"Selepas melihat keadaan saya begitu, mereka segera menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," ujar Rahim dipetik sebagai berkata.

Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambarnya yang tersebar menerusi media sosial dalam keadaan terbaring di wad kecemasan sebuah hospital.

Tambah Rahim, selepas melakukan pemeriksaan, doktor menjelaskan punca masalah itu berpunca daripada pemakanan tidak menentu sehingga menyebabkan gastrik dan sesak nafas.



"Doktor turut melakukan pemeriksaan jantung dan mengambil darah, Alhamdulillah tiada apa yang serius cuma ia mungkin disebabkan oleh penat dan makan yang tidak menentu.

"Ia juga berlaku disebabkan perasaan terlebih gemuruh untuk mengadakan persembahan kerana ini adalah konsert jadi ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada diri saya," jelasnya.

Dalam pada itu, Rahim berkata, masalah yang berlaku itu tiada kaitan dengan masalah jantung seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.



Malah katanya, kejadian serupa pernah menimpa dirinya ketika sedang menjalani penggambaran sebelum ini.

"Ini merupakan kali kedua kejadian sama berlaku tetapi ia tidak seteruk sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.

"Doktor juga ada menasihatkan saya supaya makan mengikut masa serta tidak begitu tertekan selain perlu mendapatkan rehat yang cukup supaya kejadian berkenaan tidak berlaku lagi," katanya lagi.

Mengenai perkembangan terbaru, Rahim kini sedang sibuk menjalani pengambaran filem Raja Kapcai bersama barisan pelakon Fad (Bocey), Shuk (Balas) dan Serina Redzuawan.

Sumber: mStar



         ________________________




No comments: