28 June 2015

LANA NODIN RASAI BERPUASA DI TANAH KELAHIRAN SUAMI



Lana Nodin atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 35, dan suaminya, Mohd Daud McKienzie, 35 telah terbang ke Los Angelas, Amerika Syarikat (AS) pada 20 Jun lalu bagi merasai suasana berpuasa di sana.

Lana yang sempat berpuasa bersama keluarga selama dua hari itu terpaksa meninggalkan keluarga dan tanah air demi mengikut suami, atlet sukan bola tampar yang harus pulang untuk sesi pemilihan mewakili negaranya dalam acara bola tampar pantai pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Menurut Lana, suasananya sangat berbeza dengan di Malaysia kerana berpuasa selama 15 jam dalam keadaan cuaca tidak menentu, ada kalanya sejuk dan panas.

Klik gambar untuk size besar




"Cuaca di Los Angeles agak kering, jadi sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan dan situasi mereka yang berpuasa. Sudah beberapa hari ini saya cuba membiasakan diri, begitu juga dengan Daud.

"Cuma dalam situasi sekarang, saya sangat kasihankan Daud kerana terpaksa mengikuti beberapa siri pertandingan bola tampar pantai yang dianjurkan bagi membolehkan dia layak mewakili AS.

"Walau susah sekali pun, saya cuba memujuk Daud untuk bertahan," ujar Lana dipetik sebagai berkata.



Walaupun rasa sedih apabila harus meninggalkan keluarga lebih-lebih pada bulan Ramadan dan bakal menyambut Syawal tidak lama lagi, dia harus berkorban untuk suaminya.

"Dulu hidup bujang bolehlah ikut apa kata saya tetapi sekarang saya sudah menjadi isteri orang dan tempat seorang isteri adalah di sisi suami.

"Begitupun, rasa sedih dan terkilan itu sedikit terubat apabila saya bersama suami sempat berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama Ramadan," jelasnya.



Disebabkan sibuk mengemas barang yang perlu di bawa ke Los Angelas, Lana tidak sempat membuat persiapan menyambut Ramadan.

Katanya, dalam kesibukan menyiapkan segala keperluan yang perlu di bawa ke sana, keutamaannya ialah memastikan suami dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

"Paling penting, saya harus memastikan dia be­sahur. Sebagai atlet yang biasa menjalani hidup aktif, sudah tentu tanpa sedar dia akan mudah haus dan lapar.

"Benar jangkaan saya, hari pertama Daud mengadu kepada saya yang dia tidak lapar tetapi tidak dapat menahan rasa dahaga. Alhamdullilah, dia berjaya juga mengharungi cubaan pertamanya dan hari berikutnya," katanya.

Tambah Lana, dia tidak perlu menerangkan kepentingan Muslim melaksanakan ibadat puasa pada Daud kerana pengalamannya tujuh tahun duduk di Dubai (UAE) membuatkan suaminya faham akan rukun Islam ketiga itu dan melaksanakannya tanpa banyak soal.

Kata Lana, suaminya itu tidak banyak meminta-minta disediakan itu dan ini untuk berbuka. Bagaimanapun bagi merasai suasana keistimewaan dan keseronokan berpuasa di sini, Lana sempat membawa suaminya ke bazar Ramadan berhampiran rumahnya menyaksikan 'pesta' juadah dan kuih-muih dijual.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Lana dan Daud akan menyambutnya di Los Angelas dan mengharapkan kemeriahan itu dapat dikongsi bersama keluarga mentuanya.

"Tipulah kalau saya kata tidak sedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga sendiri. Tambah pula, ini kali pertama saya tidak beraya bersama mereka.

"Bayangkan saban tahun apabila tiba hari raya, saya yang akan menyediakan segala keperluan untuk keluarga. Mereka akan berkumpul di rumah saya dan sayalah yang menentukan hendak pakai baju tema warna apa.

"Bagaimanapun, tahun ini mereka harus menyambutnya tanpa saya. Pandai-pandailah mereka nanti. Cuma saya mengharapkan sebelum Syawal berakhir, saya dan Daud punya kesempatan untuk pulang dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga saya," tambahnya lagi.



         ________________________




No comments: