27 August 2015

KES MAHKAMAH - ERMA MAHU CERAI, TAPI BADE ENGGAN LEPAS



Meskipun isteri Pengarah Bade Azmi iaitu pelakon dan pengarah Erma Fatima telah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, namun Bade selaku defendan tidak bersetuju untuk menceraikan Erma.

Sehubungan itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini memerintahkan Bade dan Erma melantik jawatankuasa pendamai apabila kes tersebut gagal diselesaikan.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang mengendalikan kes berkenaan selepas Bade tidak bersetuju bercerai.

Klik gambar untuk size besar




Antara alasan Bade ialah saman pertama hanya diterimanya pada Ramadan lalu, dan dia tidak membaca isi kandungannya namun ada menandatangani.

"Saman kedua diterima oleh pembantu rumah saya. Namun saya juga tidak membaca isi surat berkenaan," tambahnya dipetik sebagai berkata.

Selanjutnya Shaiful Azli menetapkan 7 Oktober depan untuk kedua-dua pihak membawa wakil lelaki dari kalangan keluarga atau pun kenalan terdekat bagi proses pendamaian.



Antara peranan wakil tersebut adalah untuk cuba mencari jalan penyelesaian dan menyiasat sekiranya wujud shiqa' (perbalahan berpanjangan) dalam rumah tangga mereka.

Jawatankuasa pendamai akan dipengerusikan oleh seorang pegawai jabatan agama Islam bersama wakil-wakil yang dilantik oleh kedua-dua pihak. Ia dibuat bagi membantu kedua-dua pihak dalam membuat keputusan dengan persetujuan bersama.

Untuk info, Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 51, dan Erma bernikah pada 30 November 1990.

Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13 dan Nurain berusia sembilan tahun.

Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang dan mendapat anak lelaki yang kini berusia enam bulan.



Sumber: Mstar & SH



         ________________________




No comments: