11 September 2015

PERTAMA KALI BERLAKON - TUN DR MAHATHIR RASA GEMENTAR



Pertama kali berlakon, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 90, memberitahu bahawa beliau berasa gementar dan terpaksa mengulangi beberapa kali dialog pada babak yang dilakonkannya dalam filem 'Kapsul'.

Menurut Tun M, beliau diberi skrip dan latihan untuk menghafal dialog beberapa minit sebelum penggambaran berlangsung.

"Sampai sekarang saya masih gementar, saya diberi skrip pada hari penggambaran dan latihan beberapa minit sahaja.

Klik gambar untuk size besar




"Secara keseluruhannya, saya ada beberapa kali terpaksa ulang semula lakonan," ujarnya ketika sidang media majlis pra tonton filem Kapsul, di Cineleisure The Curve.

Hadir sama pada pra tonton itu isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tun M diminta mengulas mengenai pengalaman pertamanya sebagai pelakon dalam filem 'Kapsul' arahan Allahyarham Martias Ali.



Difahamkan, dalam filem tersebut Tun M hanya melakonkan lima babak.

Dalam pada itu, Tun M berkata, lakonan merupakan perkara yang belum pernah dilakukan selama ini dan sepanjang penggambaran, beliau hanya mengikut arahan yang diberikan pengarah.

"Lakonan adalah perkara yang tidak pernah saya lakukan. Saya meletakkan diri saya sebagai pelakon dan hanya mengikut sahaja arahan pengarah.

"Walaupun masih lagi gementar, namun saya boleh katakan kepada masyarakat saya sudah bergelar pelakon," katanya berseloroh.

Sementara itu, ditanya tentang filem tersebut, Tun M berkata, dia berpuas hati dengan mesej yang disampaikan.

Katanya, filem tersebut berbeza dengan kebanyakkan karya tempatan terutamanya ketika mengimbau zaman silam dan menghargai perjuangan masyarakat dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan.

"Saya berpuas hati dengan filem ini dan saya bangga kerana arwah (Martias) boleh menjangkakan apa yang terjadi seperti yang saya perkatakan.

"Saya juga tegaskan filem ini tiada kaitan dengan politik, tapi tentang perjuangan dan misi Wawasan 2020," jelasnya.

Selain itu, beliau turun berharap agar lebih banyak filem yang memberi inspirasi dan kesedaran kepada masyarakat terutamanya generasi baharu tentang perjuangan mencapai kemerdekaan.

Filem Kapsul diterbitkan oleh Two Tones Sdn Bhd dan dibarisi pelakon seperti Faizal Hussein, Elly Mazlein, Jue Aziz, Zamarul Hisham, Datuk Rahim Razali dan Normah Damanhuri.

Ia mengisahkan mengenai sebuah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Mahathir telah dicuri dan membawa Zohri (Faizal Hussein) kembali ke zaman silam.

Kapsul ini dijangka bakal ditayangkan kepada umum pada 17 September 2015.



ATAU KLIK DISINI



         ________________________




No comments: