28 October 2015

"KAMI SEDIKIT PUN TAK TERASA DENGAN GURAUAN NABIL" - CALIPH BUSKERS



Semua mengetahui lawak Nabil Ahmad di konsert pertama Gegar Vaganza 2 (GV2) yang mempersendakan Caliph Buskers dengan menyamakan mereka dengan karya itu yang mana ahli-ahlinya adalah cacat penglihatan.





Namun begitu bagi Caliph Buskers, mereka tidak pernah terasa dengan kata-kata pelawak itu meskipun gurauan Nabil itu kasar

Malah vokalis kumpulan itu, Azmi Saat, 28, menyifatkan Nabil seorang yang lucu serta menghiburkan dan dia meminta orang ramai agar tidak mengambil serius gurauan pengacara tersebut.

"Jujurnya, sedikit pun kami tak terasa dengan gurauan Nabil itu. Kami mengikuti program itu dan lawak dia memang menghiburkan.



"Apatah lagi setiap minggu kami berjumpa dengan Nabil di program Meletop dan kami sangat mengenali dia yang suka bergurau secara kasar.

"Ahli-ahli Caliph Buskers lain pun seronok dengan gurauan dia kerana kebanyakan orang melayan kami terlalu baik disebabkan kekurangan kami," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Kumpulan Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi Saat (vokalis), Nirwan (pemain gitar), Zaki (pemain gitar/vokalis), Fendy (cajon/vokalis), Rubiana (shaker/vokalis).

Tindakan Nabil itu membuatkan pihak Astro memanggilnya untuk memberi nasihat.

Sementara itu, Azmi berkata dia faham apabila masyarakat marah dengan tindakan Nabil itu, namun orang ramai juga perlu tahu bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) juga manusia biasa yang suka bergurau senda.

"Memang dari dulu lagi masyarakat begitu prihatin terhadap sensitiviti golongan OKU. Kami bersyukur dengan perkara itu.

"Tetapi kalau anda semua nak tahu, kami lebih suka jika kami dilayan seperti orang biasa. Kami suka bergurau, malah lebih kasar daripada Nabil lagi. Hahaha.." ujarnya.

Dalam perkembangan lain, kata Azmi, dia bersyukur apabila single lagu pertama kumpulannya iaitu Hanya Namamu mendapat respons yang sangat positif sejak ia dilancarkan April lalu.

Malah jumlah klip video di Youtube pula sudah mencecah lebih sejuta tontonan.

"Alhamdulillah. Pada mulanya kami hanya mahu dikenali. Tetapi tidak sangka Caliph Buskers sudah memiliki single lagu yang mendapat perhatian ramai.

"InsyaAllah kami akan muncul pula dengan single lagu kedua," tuturnya.


Sumber: mStar




         ________________________




No comments: