19 October 2015

"PERBINCANGAN TELAH DIBUAT" - ZAMANI



Seperti yang dijanjikan, vokalis Slam, Zamani Ibrahim, 44, telah mengadakan satu sidang media khas di Rumah Pengasih hari ini bagi menjelasnya dakwaan yang mengatakan dirinya melarikan diri dari pusat tersebut.





Menurut Zamani, perbincangan bersama pihak PENGASIH dan keluarga telah dibuat pada dua minggu lalu.

"Sejujurnya saya terkejut dengan dakwaan mengatakan saya melarikan diri dari Rumah PENGASIH kerana perbincangan secara baik telah dibuat.

"Saya bukan melarikan diri sebaliknya mengambil keputusan untuk keluar dan yakin mampu untuk hidup sendiri selain ingin meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

"Tiada isu tentang melarikan diri kerana tempoh saya di sini hanya enam bulan tetapi saya teruskan hingga lapan bulan dan perbincangan untuk keluar sudah dibuat dua minggu lalu antara keluarga saya dan pihak Rumah Pengasih.

"Namun sehingga sekarang mereka tidak ada jawapan untuk beri pelepasan kepada saya. Pada perbincangan itu juga mereka berat untuk melepaskan saya keluar dari pusat ini. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan pusat rawatan ini.

"Tindakan saya membuat laporan polis di Muar, Johor adalah bagi membuat 'cover report' memaklumkan saya sudah keluar dari Rumah PENGASIH.

"Kehadiran saya pada hari ini adalah untuk menyelesaikan perkara ini secara baik. Ia sudah dibuat ketika perbincangan dua minggu lalu lagi," ujar Zamani dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu, Zamani berharap isu ini dapat diselesaikan secara baik kerana masih memerlukan sokongan dari semua pihak untuk pulih seperti sedia kala.

"Saya tidak boleh memberi jaminan untuk berubah secara mendadak. Namun saya mencuba sedaya upaya untuk tidak mengecewakan mana-mana pihak.

"Beri saya masa secara perlahan-lahan kerana baru saja keluar dari Rumah PENGASIH. Masih terlalu awal untuk saya ulas lebih lanjut berhubung isu ini," jelasnya.

Sebelum ini, Zamani didenda RM 5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 21 Januari lalu.


Sumber: BH & mStar



         ________________________




No comments: