03 October 2015

ZED ZAIDI DIBERI PELUANG SAMBUNG SARJANA & PHD SERENTAK



"Saya terkejut juga apabila pihak UMS beri peluang buat Sarjana dan Doktor Falsafah secara serentak tetapi ini adalah peluang saya untuk menuntut ilmu bukan sahaja untuk kepuasan diri tetapi berharap dapat memberi kembali kepada masyarakat pada masa hadapan," demikian kata Zed Zaidi yang diberi peluang untuk sambung belajar oleh pihak universiti berkenaan.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 35, menganggap keputusan menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) secara serentak di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai satu cabaran kepadanya.

"Ini bukan bebanan tetapi satu cabaran kepada diri saya sendiri sama ada saya boleh lakukan atau pun tidak," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Klik gambar untuk size besar




Dalam pada itu, Zed berkata dia memilih untuk menyiapkan Sarjana dan Doktor Falsafah tersebut secara kajian iaitu tentang industri kreatif di negara ini.

Difahamkan, Zed juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam pada itu, Zed berkata, dia berharap dapat menjadi contoh kepada semua ahli Seniman yang turut mempunyai keinginan menyambung pengajian di peringkat universiti pada masa akan datang.

"Sebagai pemimpin saya ingin melihat lebih ramai ahli Seniman menyambung pengajian di peringkat universiti kerana pendidikan itu bukan sahaja penting tetapi ia dapat memberi tambah nilai kepada diri mereka.

"Ilmu juga adalah persediaan pada masa hadapan kerana kita tidak akan selamanya berada dalam industri ini. Dengan ijazah yang ada kita mungkin boleh menjadi seorang pendidik selain menyumbang kembali kepada bidang seni," jelasnya.

Sementara itu, Zed berkata, kesibukan dengan pengajiannya tidak akan membataskan tanggungjawab dia sebagai presiden Seniman dan dia akan terus komited terhadap tugas berkenaan.

"Memandangkan saya memilih untuk membuat kajian jadi saya tidak perlu menghadiri kuliah di universiti tetapi perlu bijak membahagikan masa dalam menyiapkan tugasan sebagai presiden Seniman dan pelajaran.

"Saya optimis dapat menyelesaikan pengajian dan kajian menjelang tahun 2020 nanti," katanya.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: