13 November 2015

ISU KAHWIN - KURANG BERGAUL PUNCA JAMAL ABDILLAH MASIH MENDUDA



"Saya tidak mahu kegagalan sebelum ini berulang dan sebab itu saya selektif dalam mencari pasangan hidup. Namun buat masa ini... masih belum ada sesiapa," ujar penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah mengenai pasangan hidupnya.

Dia turut mengakui sikapnya yang tidak gemar bersosial menjadi faktor kegagalannya bertemu jodoh buat masa sekarang. Tambahan pula, statusnya sebagai seorang selebriti turut menyukarkannya untuk berkenalan dengan mana-mana wanita.





"Sebenarnya status sebagai seorang selebriti itu bukan jalan mudah untuk mendekati mana-mana wanita tetapi ia sebenarnya menyekat saya untuk berkenalan dengan wanita.

"Pun begitu saya sendiri memang seorang yang tidak gemar bersosial namun itu tidak bererti saya sudah berputus asa untuk mencari pasangan hidup.



"Mempunyai pasangan hidup adalah antara keperluan seorang lelaki dan saya memang berazam untuk berkahwin tetapi masih belum ada jodoh," kata Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 56.

Untuk info, Sebelum ini Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Latif pada tahun 1988 namun mereka bercerai lapan tahun kemudian dan perkahwinan itu tidak dikurniakan cahaya mata.



Penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu kemudiannya berkahwin pula dengan Intan Noraina Mohd Yusof pada tahun 2001 dan hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Osama Yamani berusia 14 tahun.

Perkahwinan itu bagaimanapun tidak berkekalan sebelum Jamal sekali lagi bertemu jodoh buat kali ketiga dengan Fatimatuzahra Samat pada 2005 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Zaki Yamani, 9, namun bercerai dua tahun kemudian.

"Kegagalan saya mempertahankan tiga perkahwinan saya sebelum ini membuatkan saya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

"Malah dalam usia saya sekarang saya berharap dapat bertemu dengan seorang wanita yang bukan sahaja mampu memberi kebahagiaan malah memahami saya sebagai seorang lelaki," tambah Jamal ketika ditemui pada majlis pelancaran Buku Rahsia Ibu Halimah di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, semalam.





         ________________________




No comments: