13 November 2015

DIHALAU SUAMI, MEREMPAT DI BENGKEL BUS MINI - 'MAK DARA' BUKUKAN KISAH HIDUP



Siapa sangka yang seorang isteri yang pernah di halau bersama anak-anaknya hingga merempat dan terpaksa tidur di bengkel bus mini, kini merupakan usahawan berjaya di Malaysia.

Rahsia tersebut telah didedahkan oleh Pengarah Urusan Jamu Mak Dara (JMD) Sdn Bhd, SM Gadaffi Syed Ali, anak kepada Ibu Halimah sendiri melalui bukunya 'Rahsia Ibu Halimah' yang dilancarkan di Saloma Bistro oleh Tengku Puan Laksamana Perlis, Datuk Paduka Sharifah Hishmah Shahabudin.





Menurut Gadaffi, semuanya bermula apabila luahan hatinya menerusi status di laman sosial Instagram menarik minat seorang penulis novel iaitu bekas wartawan Normala Hamzah. Selanjutnya, tercetuslah idea untuk mereka menulis buku tentang kisah hidup keluarganya itu.

"Akhir tahun lalu saya mengalami sedikit tekanan dan mula memuat naik gambar dan status di Instagram sebagai cara meluahkan perasaan.



"Saya tidak pernah merancang pun untuk menghasilkan buku ini dan tidak sangka pula ia menjadi perhatian seorang penulis dan dia menawarkan untuk menulis buku tentang kisah saya berdasarkan status Instagram saya," ujarnya ketika ditemui myartis di majlis pelancaran tersebut.

Dalam majlis berkenaan, Pengasas Jamu Mak Dara, iaitu Ibu Halimah turut hadir memberikan sokongan kepada Gadaffi termasuk memberi kejutan hari lahir anaknya.



"Buku itu memaparkan dua buah cerita dalam sebuah buku berkisarkan pengalaman saya dan ibu.

"Saya banyak berkongsi cabaran dan halangan sejak kecil sebelum berjaya sebagai ahli perniagaan termasuklah kisah-kisah sedihnya dalam hidup.

"Mungkin ramai tidak tahu saya pernah bergaul dengan penagih dadah, pelacur, peminum arak dan sebagainya tetapi Alhamdulillah atas kuasa Allah saya tidak berakhir seperti itu.



"Apa yang saya ingin tekankan adalah untuk memberi inspirasi dan pengajaran kepada masyarakat tentang apa yang saya lalui dari kecil sehingga sekarang," tambahnya.

"Sementara kisah ibu saya pula bagaimanapun berbeza dan ibu saya lebih banyak berkongsi tentang cinta dan kesetiaan seorang wanita terhadap suaminya.Banyak yang ibu saya lalui dan dia adalah seorang wanita yang paling cekal," ujarnya lagi.











         ________________________




No comments: