06 November 2015

"SAYA AKAN BAYAR RM30,000 SEKALIGUS" - AIDIL ZAFUAN



Pemain bola sepak Aidil Zafuan atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata yand beliau akan mengotakan janjinya untuk membayar RM30,000 kepada bekas isterinya, Rita Rudaini yang berjaya mendapat tuntutan mutaah seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.





Menurut Aidil, dia akan membayar sekaligus wang berkenaan dan enggan berhutang apa-apa dengan pelakon wanita itu.

"Mahkamah sudah pun memberi perintah tersebut. Maka saya akan bayar. Lagipun saya tak pernah cakap tak mahu bayar. Kalau tak bayar, maksudnya saya dah langgar perintah mahkamah.

"Saya akan bayar habis (sekaligus) dan tidak mahu berhutang apa-apa lagi dengan dia.

"Cuma pihak saya belum menerima sebarang surat dari mahkamah untuk membuat pembayaran itu," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan Aidil membayar kepada bekas isterinya sebanyak RM30,000 daripada tuntutan sebenar dibuat Rita iaitu RM300,000.

Tuntutan mutaah bermaksud pemberian harta (sagu hati) yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri yang telah diceraikan.

Sementara itu, Aidil berkata, dia berharap tiada isu lain yang bakal dibangkitkan selepas ini.

Katanya sehingga kini, dia masih lagi menjalani tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan memberi nafkah wang kepada anak-anaknya.

"Harap-harap tiada isu lain timbul. Setakat ini saya membayar nafkah anak-anak macam biasa," jelasnya.

Ditanya adakah dia dapat bertemu dengan dua orang anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna yang berusia empat tahun, katanya:

"Tidak. Walau apa pun dia (Rita) cuba buat, anak-anak tetap ber'bin'kan Aidil Zafuan.

"Kalau betullah cara saya ini, satu hari nanti anak-anak akan tahu sendiri perkara yang sebenar," katanya.

Untuk rekod, Rita dan Aidil bercerai talak satu pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: