06 November 2015

MENGAKU SALAH - ZARINA ANJOULIE DIDENDA RM5,000



Artis paling kontroversi Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 29, yang sebelum ini tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine tiga tahun lalu akhirnya menukar pengakuan selepas mahkamah mendengar keterangan enam saksi pendakwaan.

Pelakon dan model tersebut telah didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Majistret Mohd Nazri Omran turut memerintahkan Zarina dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.





Denda tersebut telah dibayar oleh bapanya.

Mahkamah juga memerintahkan pelakon kacukan Melayu, Iran dan Scotland itu yang terkenal dengan drama bersiri 'Anak Pontianak' menjalani tiga tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula Khamis.

Zarina didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut.



Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Narkotik Damansara di sini pada 8.10 malam, 30 Dis 2012 mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM5,000.

Ketika rayuan, peguam Nasir Yusof mewakili Zarina memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan pelakon itu kini tidak mempunyai apa-apa harta kerana pendapatannya terjejas semenjak didakwa, selain berjanji akan mengubah kehidupan ke arah lebih baik pada masa akan datang.

Timbalan Pendakwa, Raya Siti Fatimah Yahya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kesalahan dadah adalah serius dan tertuduh merupakan 'public figure' yang mendapat perhatian ramai dan sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat.

Pada 22 Oktober lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Zarina kerana gagal hadir pada perbicaraan kes dadah yang dihadapinya.

Namun, Majistret Mohd Nazri membatalkan waran tangkap tersebut semalam selepas Zarina hadir ke mahkamah.

Peguamnya juga mengemukakan sijil cuti sakit Zarina yang tidak hadir pada tarikh perbicaraan itu.

Majistret Mohd Nazri kemudian berkata "macam dah klise tiap kali tarikh bicara kamu sakit".


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: