Kita semua tahu yang penaja utama Gegar Vaganza 2 (GV2), Datuk Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida mempunyai kuasa imuniti untuk membawa kembali peserta GV2 yang tersingkir. Malah pada konsert Ahad lalu, beliau telah menggunakan imuniti itu untuk memasukkan kembali Acong Sweechild.
Meskipun beliau berkata tidak menyesal memilih Acong kerana potensi yang ada pada penyanyi itu, namun awalnya beliau nampak berbelah bagi. Katanya semua peserta yang telah terkeluar mempunyai kekuatan tersendiri hingga terpaksa berbincang dengan ketua juri.

Bagaimanapun, bila diberitahu oleh Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim bahawa imuniti tersebut hanya boleh digunakan untuk konsert ke-tujuh (Ahad lalu), Datuk Seri Vida akur dan kemudian memilih Acong.
Persoalannya sekarang, apakah Acong dipilih kerana terpaksa? Mungkinkah kalau imuniti itu bebas diguna untuk peserta lain yang telah tersingkir, ia akan digunakan untuk mereka?

"Saya harap pemilihan Acong tidak dijadikan isu kerana dia dibawa masuk semula atas persetujuan juri juga. Kalau ikutkan saya, semua peserta saya suka dan mahu mereka terus beraksi hingga ke pentas akhir," ujar Datuk Seri Vida.
"Acong merupakan peserta yang bagus. Setiap minggu kita dapat melihat persembahan yang penuh bertenaga daripada dia. Cuma nasib tidak menyebelahi Acong pada malam ini.
"Saya melihat persembahan kesemua peserta setiap minggu dan Acong tidak pernah melakukan kesilapan. Sayang kalau dia terkeluar begitu sahaja.
"Dengan kualiti persembahan yang ada pada dia, saya rasa adil untuk Acong menerima Imuniti tersebut," tambahnya pada media.
Namun begitu, mampukah Acong menggunakan peluang kedua yang diberikan kepadanya itu minggu depan? Atau dia akan tersingkir lagi... kerana tiada kuasa imuniti yang mampu menyelamatkannya kali kedua.
Oleh itu, sama-sama kita nantikan kehangatan konsert separuh akhir GV2 yang akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pukul 9 malam Ahad depan.
________________________
-
FACEBOOK - SANTAI - PAPARAZZI - NOSTALGIA - GALERI - YOUTUBE - ROMANTIKA - SEJARAH MYARTIS
- INSTAGRAM - TWITTER
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment