30 November 2015

SAMAN FITNAH: 7 DISEMBER INI - SHILA HAMZAH BERI KETERANGAN



Pada 7 Disember ini, penyanyi Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah akan memberi keterangan dalam kes saman yang difailkannya terhadap seorang wartawan hiburan dan dua pihak lain berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 September 2014.





Perkara itu dimaklumkan peguam Mahendra Kumar kepada pemberita selepas perbicaraan kes saman penyanyi itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub hari ini.

Turut hadir bapa penyanyi berkenaan ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh dan ibu Nurshahila, Fauziah Sarman.

Nurshahila dan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada 16 Januari lepas dengan menamakan wartawan hiburan akhbar Kosmo! Maliah Surip, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai defendan pertama hingga ketiga.



Dalam pernyataan tuntutan itu, Nurshahila mendakwa Maliah telah menulis beberapa artikel yang diterbitkan dalam akhbar Kosmo! antara lain mengaitkan konsert "Shila Amzah-Love Live in Malaysia" di Mega Star Arena di sini pada 13 September 2014 ditaja oleh syarikat judi terbesar di negara ini dan beliau juga dikatakan memperlekehkan media Melayu.

Nurshahila mendakwa, artikel itu ditulis berikutan terdapat satu status yang dimuat naik dalam laman web Instagram menggunakan nama akaun "Shilaamzah_photography" pada 15 September 2014, yang secara amnya memuji pihak media khususnya media berbahasa Cina kerana membuat liputan meluas berkenaan konsert itu.

Penyanyi itu yang pernah mewakili negara bagi menyertai pertandingan nyanyian 'Asian Wave Singing Competition' di China pada 2012, mendakwa beliau tidak mengetahui pemilik akaun Instagram itu dan pemilik akaun Instagram berkenaan tiada kaitan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment.



Nurshahila berkata konsert itu dianjurkan bersama pihak Mega Ultimate Sdn Bhd dan tidak pernah wujud apa-apa tajaan wang daripada 'syarikat perjudian nombor satu Malaysia' seperti yang dinyatakan dalam aktikel berkenaan.

Plaintif mendakwa artikel itu yang ditulis wartawan berkenaan membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bermoral kerana sanggup mengenepikan kepercayaan agama serta budaya untuk mendapat tajaan wang yang tidak halal untuk menjayakan konsertnya, bersifat rasis dan tidak sensitif kepada bangsa sendiri iaitu bangsa Melayu.

Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula aktikel yang serupa selain memohon perintah supaya kesemua artikel itu ditarik balik.

Kedua-dua plaintif juga memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi tambahan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam M. Reza Hassan mewakili kesemua defendan.


Sumber: BERNAMA



         ________________________




No comments: