02 December 2015

INGKAR PERINTAH - AWIE DIKENAKAN NOTIS TUNJUK SEBAB OLEH MAHKAMAH



Kegagalannya mematuhi tiga perintah mahkamah sebelum ini termasuk menyerahkan anak sulung mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, kepada bekas isterinya, Rozana Misbun, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 47, telah dikenakan notis tunjuk sebab oleh Mahkamah Tinggi Syariah.





Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain memerintahkan pelakon dan penyanyi rock terkenal memberi penjelasan kepada mahkamah berhubung isu tersebut pada 11 Januari depan.

"Saya berpuas hati dengan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan pemohon (Rozana) untuk mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada responden (Awie).

"Tarikh 11 Januari 2016 ditetapkan untuk responden mengemukakan alasan munasabah kepada mahkamah," ujar beliau ketika membacakan keputusan penghakimannya semalam.



Kegagalan Awie untuk akur atau memberi alasan munasabah berhubung keengganannya mematuhi perintah terbabit boleh menyebabkan dia dikenakan tindakan menghina mahkamah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.

Pendengaran permohonan yang dikemukakan Rozana di hadapan Mohd. Amran semalam berlangsung tanpa kehadiran Awie dan peguam syarienya.

Bekas model berusia 37 tahun tersebut memfailkan permohonan kebenaran tersebut menerusi peguam syarie Nor Azmi Mohd. Arif mengikut Seksyen 151(1) (a)(b) Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 dan Seksyen 151(aa) 229(1) akta sama di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 24 November lalu.


Sumber: Kosmo



         ________________________




No comments: