04 December 2015

LINDA RAFAR & SYED AIMAN SAH KEMBALI RUJUK



"Alhamdulillah kami kembali bersama sebagai suami isteri. Peluang yang ada digunakan untuk muhasabah diri dan memperbaiki kekurangan yang berlaku," demikian kata Linda rafar, 37, apabila dia dan Syed Aiman, 40, sah rujuk semula.

Rumah tangga mereka berjaya diselamatkan apabila Syed Aiman hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam beberapa minggu kemudian untuk rujuk dan ini membuka hati Linda untuk menerimanya semula.





Justeru sebagai tanda kesyukuran, pasangan ini menganjurkan program Majlis Tazkirah Ilmu 'Aku Yang Bersyukur' di kediaman mereka, Ahad lalu.

Linda yang kini hamil tiga bulan berkata, dia lega kerana kehidupan yang dilaluinya semakin tenang dan mereka sudah melupakan detik hitam yang dilalui sebelum ini.

"Kami sekarang berfikir dengan matang. Apa guna nak bergaduh hanya kerana perkara kecil. Tiada untungnya pun buat begitu dan langsung tak berbaloi.



"Tapi nak dikatakan krisis kecil itu ada juga. Namun selepas itu kami fikir semula secara rasional untuk tak memanjangkannya sehingga melarat menjadi lebih teruk.

"Saya juga tanamkan dalam hati untuk memaafkan kesalahan semua pihak," ujarnya yang mengakui belajar banyak perkara baru dalam kehidupan sekarang.

Bercerita mengenai majlis berkenaan, Linda berkata, perancangan hanya dibuat beberapa ming­gu dan tidak menyangka majlis itu akan menjadi besar dengan kehadiran ramai jemputan.



"Saya bercadang buat majlis tahlil untuk arwah anak, Rezaimen Keiflin yang meninggal dunia pada 5 Julai tahun lalu. Kebetulan tarikh 29 November adalah ulang tahun kelahirannya.

"Selain itu, ia juga adalah tarikh ulang tahun perkahwinan saya dan Syed Aiman yang kesembilan. Kami memang bercadang menjemput pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fad­zilah Kamsah sebagai tetamu.

"Tak sangka dia sudi datang dan buat tazkirah bermula dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Selain itu, kami menjemput kanak-kanak sekolah tahfiz hadir ke majlis ini," jelasnya.



Linda juga sedih dengan pemergian pelawak popular, Allahyarham Yus Jambu yang sebelum itu berjanji akan hadir ke majlis terbabit.

Linda berkata, dia terkejut apabila menerima berita pemergian Yus yang meninggal dunia selepas menjayakan persembahan pada final Raja Band di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

"Dia memang berjanji akan hadir dan anak-anak saya pun suka dengan lawak jenakanya.

"Anak-anak saya turut menangis kerana mereka sangat meminati Yus terutama penampilannya dalam program Juara Parodi," katanya.


Sumber: myMetro



         ________________________




No comments: