03 December 2015

"SAYA SEDIH SEBAB MUMMY TAK SEMPAT TERIMA ANUGERAH" - ROZITA ROHAIZAD



"Dia telah banyak berkorban demi kerjaya seni yang dicintainya sehingga ke akhir hayat. Tak pernah demand apabila mendapat tawaran. Malah tengah sakit-sakit pun tetap bekerja kerana tidak mahu menghampakan orang," demikian kata anak kepada Allahyarham seniwati Mariani iaitu Rozita Rohaizad yang terkilan kerana ibunya meninggal dunia tanpa menerima sebarang anugerah dalam industri seni tempatan.





Menurut Rozita, walaupun Allahyarham ibunya tidak pernah meluahkan tentang hal tersebut, namun dia percaya adalah menjadi kemahuan ibunya itu untuk menerima anugerah penghargaan sepanjang 63 tahun bergelar anak seni.

Sementara itu, seorang lagi anaknya, Melissa Saila berkata, dia bersyukur apabila hajat ibunya yang ingin menziarahi studio Jalan Ampas Singapura, iaitu tempat dia memulakan kerjayanya sebagai pelakon dapat dilaksanakan.

"Selepas disahkan menghidap kanser usus, mummy berhasrat mahu ziarah tempat kerja lamanya.

"Alhamdulillah pada Mei lalu, saya menunaikan permintaannya dan ketika sampai di sana, dia pula jadi 'tour guide' bercakap tentang apa yang ada di sana selain aktiviti-aktiviti hariannya ketika di zaman mudanya dulu.

"Apa-apapun, saya bersyukur mummy mampu hidup sehingga usia ini sedangkan tak ramai mampu bertahan selepas usia 60 tahun," jelasnya.



Pelakon Dian P.Ramlee, iaitu anak saudara Allahyarham pula berkata, dia begitu manja dengan ibu saudaranya itu setiap kali mereka berjumpa.

Malah dia akan mengurut Mariani sambil berborak mengisi masa terluang. Dian juga cukup kagum dengan seniwati itu yang mempunyai daya pemikiran yang sangat tajam.

"Bayangkan pada usia 82 tahun, dia masih lagi boleh menghafal skrip dalam tempoh masa yang sekejap. Malah dia juga boleh ingat setiap kejadian yang pernah berlaku pada dirinya secara terperinci. Saya panggil dia 'mak besar' kerana hanya dia saja yang tinggal dalam adik beradiknya," kata Dian.

Dalam pada itu, Datin Seri Umie Aida pula menyifatkan pemergian Mariani adalah satu kehilangan yang besar kerana seniwati itu sering menjadi rujukan pelakon-pelakon mengenai ilmu-ilmu lakonan.

"Susah nak cari pelakon yang memberi komitmen tinggi dalam kerjaya lakonan seperti Allahyarham. Selain jujur dan berdisiplin dalam kerjaya dia sering menjadi rujukan penggiat seni filem tempatan," tuturnya.



Bagaimanapun menurut Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, memberitahu bahawa bulan lalu, dia telah mencadangkan nama Seniwati Mariani untuk menerima pingat bersempena Hari Keputeraan Yang DiPertuan Agong pada bulan Jun tahun hadapan.

"Saya dah hantar untuk mencadangkan nama Mummy (Mariani), untuk menerima pingat dan sekali gus membawa gelaran 'Datuk'. Tarikh tutupnya pada 27 November lalu. Dah hantar dah pun. Cuma sekarang saya tak pasti sama ada cadangan tersebut diterima atau tidak.

"Saya hantar ketika Mummy masih ada lagi kerana bagi saya, Mummy banyak jasanya kepada negara. Dia juga merupakan salah seorang pengasas SENIMAN. Banyak jasanya yang ramai orang tidak tahu. Jadi disebabkan itulah, saya cadangkan nama Mummy. Tapi itulah, tidak kesampaian juga untuk dia menerima sendiri pingat tersebut jika dapat," jelas Zed ketika ditemui media di tanah perkuburan.



         ________________________




No comments: