19 January 2016

ANAK DIDAKWA CURI MOTOR - AZIAN MAZWAN TETAP FIKIR POSITIF



Sungguh sedih nasib penyanyi Azian Mazwan Sapuwan yang kembali mencipta nama dalam Gegar Vaganza 2 apabila anaknya disahkan terbabit dalam kes kecurian motosikal di Putrajaya baru-baru ini.

Azian bagaimanapun berkata, dia tidak tertekan dengan berita mengenai anaknya yang tersebar luas itu kerana menyedari anaknya itu tersalah langkah dalam memilih kawan.





"Saya tenang dan tidak tertekan apabila berita mengenai perkara itu dilaporkan dalam media dan saya ambil positif perkara itu.

"Ini adalah akibat daripada kesilapannya sendiri dalam memilih kawan dan berharap ia dapat menjadi pengajaran kepadanya," ujar Azian dengan nada tenang.



Untuk makluman, anak Azian yang berusia 16 tahun itu ditangkap pihak polis bersama seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun dan telah pun dihadapkan ke mahkamah pada akhir Disember lalu.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan ditetapkan pada Februari depan.

Kedua-dua tertuduh dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.



"Kes masih berjalan dan belum jatuh hukuman lagi, jadi saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkembangan kes itu," katanya yang sebelum memasuki GV2 lagi pernah berpesan kepada anak-anaknya agar menjaga nama baik keluarga.

"Bukan sahaja menjaga nama baik saya tetapi juga diri mereka sendiri tetapi perkara sudah hendak jadi begitu, saya positif... tambahan pula dia masih belum didapati bersalah oleh mahkamah," tambahnya dipetik sebagai berkata Mstar.


Foto: Azian IG


         ________________________




No comments: