19 January 2016

JODOH MASIH KUAT - RAJA AZMI & EDDIE BAKAL NIKAH SEMULA 26 FEBRUARI INI



Pada 11 November 2014, ia merupakan tarikh duka buat Raja Azmi Raja Sulaiman, 57, dan Mohd Eddie Ghazali, 48, apabila mereka mengambil keputusan untuk bercerai.

Bagaimanapun, nampaknya jodoh Raja Azmi dengan bekas suami itu masih kuat apabila mereka khabarnya bakal bernikah semula pada 26 Februari ini.





Menurut Raja Azmi, keputusan itu dibuat selepas hatinya terbuka untuk menerima Eddie sebagai suaminya semula selepas mendapat petunjuk daripada Allah ketika melakukan solat Istiqarah.

"Alhamdulillah, hati saya terbuka sekali lagi untuk bernikah semula dengannya dan berharap perkahwinan kali ini akan kekal hingga ke akhirat.

"Majlis tersebut akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja yang bakal dihadiri keluarga dan rakan-rakan terdekat. Majlis hanya akad nikah dan doa selamat sahaja," ujar Raja Azmi dipetik sebagai berkata.



Kata Raja Azmi, majlis akad nikah itu akan diadakan di Surau Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang, selepas solat Isyak.

Katanya, biarpun lebih setahun bercerai, Eddie yang juga bekas gitaris kumpulan CRK itu tidak pernah jemu berusaha membuka hatinya semula untuk kembali bersama.

"Kami bercerai setahun ini kami masih berkawan baik, banyak pengajaran yang saya dan dia dapat untuk perbaiki pada rumah tangga kali kedua ini.



"Saya akui jatuh cinta semula kerana dia sentiasa ada ketika saya gembira dan bersedih. Saya juga beberapa kali buat solat Istiqarah dan Alhamdulillah memang Allah beri petunjuk ke arah ini," jelasnya.

Sementara itu, Raja Azmi berkata, dia berharap dapat melayari perkahwinan kali ini dengan lebih baik dan membina sebuah keluarga yang bahagia.

"Saya belajar untuk lebih banyak bersabar dan dia juga sudah sedar apa kesalahan-kesalahannya dahulu. Insya-Allah kami akan bina semula rumah tangga ini dengan baik. Saya juga berharap orang ramai dan peminat turut mendoakan kebahagiaan kami," katanya.

Untuk rekod, Raja Azmi dan Eddie berkahwin pada 13 Oktober 2013 namun mereka bercerai 13 bulan kemudian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Raja Azmi sebelum itu pernah bernikah dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan hasil pernikahan tersebut mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: