12 January 2016

LUNAS JANJI - REMY ISHAK BAWA IBU TUNAI UMRAH HUJUNG JANUARI INI



Kesibukan dalam penggambaran tidak menghalang pelakon Remy Ishak, 34, melunaskan janji untuk membawa ibunya ke Tanah Suci Makkah pada hujung Januari ini.

Pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak ini bersyukur kerana dalam kesibukan mencari rezeki, dirinya dijemput juga untuk menjadi tetamu Allah.





Ketika ini, Remy terikat dengan penggambaran drama bersiri Rumi dan Jawi karya Erma Fatima. Dalam drama itu, beliau digandingkan dengan Fathia Latiff.

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Nur Kasih itu turut memberitahu, seluruh tenaga produksi drama rantaian berkenaan akan terbang ke New York bagi menghabiskan beberapa lagi episod.

"Saya sudah lama menyimpan hajat untuk membawa ibu menunaikan umrah di Makkah. Alhamdulillah, tahun 2016 membuka tirai dengan perkara baik dan sekali gus saya dapat menunaikan janji yang sudah lama tertangguh kepada ibu.

"Biarpun jadual kerja saya agak padat pada bulan ini, namun tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk melawat tempat Nabi harus diutamakan. Jadi, sehari selepas menjalani penggambaran di New York, saya akan ke Makkah pula.

"Semoga perjalanan saya ke Tanah Suci akan dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar. Saya teruja kerana berpeluang untuk ke sana dengan kesihatan yang masih baik.

"Walaupun pelbagai cerita singgah ke telinga, apa yang penting sebagai umat Islam kita perlu menjaga adab dan akhlak sepanjang berada di sana. Apatah lagi tujuan kita ke sana adalah untuk beribadat dan mendekatkan diri dengan agama," katanya yang merancang untuk berada di Tanah Suci selama sembilan hari.


Sumber: BH



         ________________________




No comments: