12 January 2016

TAHNIAH - ATU ZERO BAKAL AKHIRI ZAMAN BUJANG DENGAN PEREKA FESYEN



Bukan hanya Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin memilih tarikh 8 Februari sebagai tarikh penyatuan mereka, malah Atu dari kumpulan Zero turut akan bernikah pada tarikh yang sama.

Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Bin Doli Sharif, 24, memilih pereka fesyen iaitu Shafeeqa Johari, 30, sebagai bakal isterinya.

Kad Kahwin Atu & Shafeeqa




Menurut Atu, majlis pernikahan mereka akan diadakan secara sederhana di kediaman wanita itu di Batu Pahat, Johor. Majlis pernikahan itu akan dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan.

Majlis akad nikah diadakan pada sebelah pagi, manakala majlis persandingan akan diadakan pada sebelah petang hari yang sama.

"Alhamdulillah, kami berkenalan hampir setahun dan keluarga saya datang merisik pada Hari Raya tahun lalu. Kami bersetuju memilih tarikh 8 Februari kerana cuti Hari Raya Cina. Lagipun keluarga serta kawan-kawan boleh datang.

"Majlis di kampung saya di Sabah mungkin akan dibuat selepas rumah kami siap sepenuhnya nanti," ujarnya dipetik sebagi berkata.

Mengenai persiapan, Atu berkata yang persiapan untuk majlis perkahwinan tersebut sudah siap sepenuhnya dengan bantuan ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, bercerita tentang wanita istimewa tersebut, dia mengenali wanita berkenaan sejak setahun lalu sebelum kumpulan Zero memenangi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2015.

Kata Atu, wanita tersebut merupakan seorang yang memahami dengan kerjayanya sebagai anak seni dan tidak terlalu memandang kepada darjat.

"Dia daripada keluarga berpendidikan, bapanya seorang bekas jurutera dan ibunya pegawai bank, namun menerima saya yang tiada apa-apa ini. Kalau diikutkan ramai lagi lelaki yang lebih berpelajaran yang mahukan dia, tapi inilah mungkin dikatakan jodoh," jelasnya.

Tambah Atu, wanita tersebut kini mengusahakan sebuah butik Sastera Hijab di Shah Alam.

Dalam pada itu, ditanya tentang kesediaannya berkahwin pada usia muda, Atu berkata, dia memilih untuk menjalani kehidupan berkeluarga bagi menguruskan kehidupan seharian.

"Sudah sampai masanya untuk saya berkeluarga dan sekurang-kurangnya saya ada teman atau orang yang menguruskan kehidupan saya selepas ini. Lagi pula tidak manis berkawan lama-lama yang hanya akan membuat masyarakat pandang negatif kepada kita sahaja," katanya.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: