13 January 2016

TAKZIAH - BAPA IQWAN AF2015 KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pada 9 Januari lalu, bapa kepada bekas pelajar Akademi Fantasia 2015 (AF2015) Iqwan telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10 pagi Sabtu.

Allahyarham Salim B. Mohamed, 55, meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Setapak akibat serangan jantung dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak.





Menurut Iqwan, dia tidak menyangka perbualan bersama bapanya pada jam 3 pagi itu merupakan pertemuan terakhir mereka. Katanya, walaupun mereka hanya berbual kosong namun momen tersebut menjadi kenangan paling berharga dalam hidupnya.

"Nak kata tanda-tanda pelik itu tidak ada cuma pada malam itu apabila pulang ke rumah, saya lihat ayah sedang tidur. Saya rasa sedikit hairan kenapa ayah tidur awal kerana selalunya dia pasti akan tunggu saya pulang terlebih dahulu kemudian barulah dia akan masuk tidur.

"Rasa seperti baru saja berbual dengan arwah dan masih lagi teringat sewaktu ayah memanggil saya kira-kira jam 3 pagi dan mengajak saya untuk berbual bersamanya. Dalam pada kami berbual-bual kosong, ayah juga ada mengadu yang dia sakit bahu dan kemudiannya saya picit bahu ayah sehingga dia tertidur.



"Selepas itu saya salam ayah dan dalam masa yang sama terdetik rasa tidak sedap hati namun saya tepis perasaan tersebut kerana tak mahu berfikiran negatif," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Iqwan atau nama sebenarnya Muhammad Ikhwan Alif Salim memberitahu dia mendapat tahu tentang berita mengejut itu selepas dihubungi oleh pihak hospital.

"Ayah menghidap penyakit tiga serangkai (jantung, buah pingang & kencing manis) sejak tahun 2013 dan arwah meninggal dunia di hospital ketika menjalani rawatan dialisis.



"Kami sekeluarga dapat tahu tentang berita tersebut apabila pihak hospital hubungi kami dan memberitahu arwah pengsan ketika rawatan.

"Saya agak terkejut kerana sebelum ini, arwah tidak pengsan dan pada pagi itu juga ayah berkelakuan seperti biasa. Sebaik sahaja kami sampai ke tempat rawatan, doktor memberitahu bahawa ayah saya sudah tiada," jelasnya.

Lebih menyedihkan, Iqwan dan keluarga telah merancang untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi bapanya pada keesokan hari (Ahad).

"Kami dah merancang untuk menyambut majlis hari jadinya dan kebetulan ayah pula teringin nak makan daging kambing. Namun tuhan lebih sayangkan arwah dan ayah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Januari lalu iaitu sehari sebelum hari lahirnya," katanya sebak.

Al-Fatihah



         ________________________




No comments: